Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok
14 November 2012

Beberapa kanak-kanak menunjukkan tempat kejadian pokok tumbang yang mengorbankan Nurhanis.

Ayah Intan, Md Nasir Yakop, 40, bersama ibunya, Norhayati Moktar, 45, melihat keadaan anaknya yang masih lemah.
BALING – “Anis nak belikan ibu kek dua tingkat. Kek ini untuk hari jadi ibu,” itu kata-kata terakhir Nurhanis Abdul Rahman, 8, kepada ibunya, Faridah Che Nordin, 35, sebelum maut dihempap pokok getah di Kampung Keda Banggol Petai dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi kelmarin.
Namun, segalanya hancur setelah Nurhanis disahkan meninggal dunia iaitu pada hari jadi ibunya selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Faridah berkata, kata-kata anaknya itu tidak dapat dilupakan malah sentiasa bermain di fikirannya.
“Saya tidak menyangka Anis akan pergi buat selama-lamanya. Namun saya reda dengan segala ketentuan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya sedang mencari bunga untuk digunakan sempena hari jadinya itu.
“Arwah ingin membuat kejutan kepada saya. Disebabkan itu, saya tidak mengetahui tujuan asalnya keluar ke rumah. Saya ingat dia sekadar bermain bersama rakan-rakannya.
“Selepas kejadian, rakan-rakannya memaklumkan mereka mengutip bunga untuk hari jadi saya. Kata mereka, arwah ingin buat kejutan kepada saya,” katanya.
“Saya tidak tahu kenapa, arwah memang terlalu gembira sebelum kejadian itu. Setiap perlakuannya sentiasa menjadi perhatian kami. “Arwah seolah-olah mahu kami beri perhatian lebih kepadanya,” katanya.
Ayah mangsa, Abdul Rahman Ismail, 42, berkata, anaknya begitu gembira untuk menyambut hari jadi ibunya malah bercadang membelikan kek dua tingkat kepada ibunya itu.
“Arwah sempat berpesan supaya memanggil rakan-rakannya semasa majlis hari jadi itu. “Namun segalanya kini menjadi kenangan buat kami setelah arwah pergi dulu sebelum kami,” katanya.
Menurutnya, ketika tiba di persimpangan jalan, sebatang pokok getah tumbang dan menghempap dirinya termasuk arwah.
“Ketika itu saya lihat arwah tidak lagi berganjak. Saya pula tersepit di celah batang kayu itu. “Saya jerit nama ibu kerana takut dengan kejadian berkenaan,” katanya.
Katanya, seorang lagi rakannya berlari untuk mendapatkan bantuan apabila melihat dirinya termasuk arwah terlantar di atas jalan. “Tidak lama kemudian, beberapa penduduk setempat datang dan membantu mengeluarkan saya bersama arwah Nurhanis,” katanya.
Intan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakan karibnya itu.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak, Nurhanis Abdul Rahman maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap pokok getah.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mencari bunga sempena menyambut tarikh lahir ibunya semalam iaitu sehari sebelum kematiannya itu.
Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Golok pada jam 12.30 tengah malam, semalam.