Anak petani antara pelajar cemerlang UPSR – Bernama


Anak petani antara pelajar cemerlang UPSR

17/11/2011 5:32pm

 

HULU TERENGGANU – Anak petani, pembantu kantin dan pekerja kilang antara tujuh pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Dusun di sini.

Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun murid di sekolah luar bandar ini tetap membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelajar lain sehingga membantu sekolah itu muncul sekolah terbaik UPSR di Terengganu.

Tinjauan Bernama mendapati sekolah itu mempunyai 65 murid di Tahun Satu hingga Enam dan sebahagian besar daripada mereka belajar di bangunan kayu.

Guru Besar Sekolah itu Noraini Lebai Abdul berkata, 15 calon yang menduduki peperiksaan itu semuanya lulus, dan pencapaian cemerlang yang dicatat adalah hasil kerja keras guru hingga mampu memperoleh 1.23 Gred Purata Sekolah (GPS). – Bernama