Anak yatim ditaja gunting rambut sempena Aidilfitri – Utusan


Anak yatim ditaja gunting rambut sempena Aidilfitri

2011/08/27

KULIM: Memberi sumbangan kepada golongan tidak bernasib baik tidak terhad kepada pemberian wang serta barangan semata-mata, tetapi boleh juga dalam bentuk lain.

Bersandarkan kepada falsafah itu Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leung membawa tukang gunting rambut berpengalaman ke Asrama Pertubuhan Anak-anak Yatim Persatuan Bekas Perajurit Malaysia di sini, untuk menggunting rambut penghuninya sempena Aidilfitri.

Seramai 25 penghuni lelaki dan 27 perempuan menerima perkhidmatan itu, selain sumbangan kuih raya dan alat tulis menerusi program yang julung kali diadakan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya beliau berharap dengan program gunting rambut itu anak yatim terbabit dapat tampil kemas dan bersih terutama pada pagi Syawal ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga menghulur bantuan kepada lebih 200 penerima daripada kalangan tidak bernasib baik di kawasan Parlimen Padang Serai bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan ini. – BERNAMA