Murid dakwa dibuli rakan-rakan – Utusan


Murid dakwa dibuli rakan-rakan

 

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

 

SEREMBAN 5 Mac – Seorang murid tahun satu di sebuah sekolah kebangsaan di sini trauma selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada Jumaat lalu.

Mangsa, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika menjemputnya dari sebuah rumah anak yatim di Taman England dekat sini pukul 7.30 malam pada hari sama.

Dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila melihat kecederaan yang dialami Faqrul Hakimi.

“Semasa disoal, dia mengaku telah dipukul di sekolah tetapi tidak dapat menceritakan secara jelas peristiwa itu, mungkin kerana trauma.

I-Great Iqra’ untuk kanak-kanak – Kosmo


I-Great Iqra’ untuk kanak-kanak

 

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

 

MOHAMAD SALIHUDDIN (empat dari kanan) pada majlis pelancaran pelan takaful terbaharu, I-Great Iqra’ di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini berpeluang membantu pendidikan kanak-kanak yang tidak berkemampuan melalui pelan takaful pendidikan yang diperkenalkan Great Eastern Takaful Sdn. Bhd. (GETSB), I-Great Iqra’.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GETSB, Mohamad Salihuddin Ahmad berkata, pelan tersebut membolehkan para dermawan mencarum untuk tujuan kebajikan bagi anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain menggalakkan usaha-usaha kebajikan di kalangan masyarakat, pelan ini juga dibuka kepada saudara-saudara terdekat untuk ahli keluarga mereka, seperti datuk untuk membantu pendidikan cucu atau ibu saudara untuk anak saudaranya.

“I-Great Iqra’ turut membantu ibu bapa memastikan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka dengan memberikan nilai pelaburan yang tinggi dan perlindungan serta fleksibiliti untuk memenuhi keperluan ibu bapa,” katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini semalam.

Mohamad Salihuddin menambah, pelan itu juga menganugerahkan ganjaran kepada pemegang polisi untuk kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari kos sebenar yang terlibat untuk menanggung keperluan dan perbelanjaan anak-anak yang sentiasa meningkat ekoran peningkatan kadar inflasi,

“Bagi mengurangkan bebanan ini, I-Great Iqra’ direka dengan komponen simpanan dan memberikan perlindungan takaful dalam menyediakan asas kukuh keperluan pendidikan anak-anak mereka di masa hadapan,” ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Saya tiada basikal – Metro


Saya tiada basikal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Saya tidak ada basikal,” demikian alasan diberikan seorang remaja ketika dia bersama tiga rakannya dicekup selepas cuba melarikan sebuah basikal di rumah di Bandar Uda Utama, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, remaja berusia 13 hingga 16 itu melompat pagar untuk masuk ke kawasan rumah dan melarikan basikal ketika pemilik rumah nyenyak tidur.
Bagaimanapun, tindakan remaja terbabit mencampak basikal hingga menghasilkan bunyi kuat mengundang curiga pemilik rumah serta jirannya lalu bangun sebelum menangkap remaja itu.

 

Malah, cubaan remaja terbabit melarikan diri melalui lorong belakang berhampiran rumah mangsa serta berlagak seperti tiada apa berlaku gagal memperdaya jiran dan pemilik rumah.
Ketika ditahan, suspek yang juga pelajar sekolah menengah termasuk dua adik beradik itu mengaku sering keluar merayau pada waktu malam tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Seorang daripada remaja itu yang juga anak yatim mendakwa terdesak memiliki basikal kerana tidak mampu membelinya berikutan ibunya tidak bekerja dan bergantung dengan wang pencen arwah ayahnya.

 

 

Difahamkan, ada di antara remaja terbabit pernah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes curi minyak enjin motosikal dan beberapa kes jenayah lain. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mencari punca sebenar bagaimana remaja terbabit bagi mengelak perkara sama berulang.

30 murid miskin terima bantuan peralatan sekolah – Utusan


30 murid miskin terima bantuan peralatan sekolah

Zawahir Abdullah (tengah, barisan belakang) bersama sebahagian murid yang menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis di Kuala Sala, Alor Setar, semalam.

 

ALOR SETAR 9 Jan. – Seramai 30 murid termasuk lapan anak yatim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mahawangsa, Kuala Sala di sini menerima bantuan beg sekolah serta alat tulis daripada Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) semalam.

Pengerusi IAM, Zawahir Abdullah berkata, bantuan tersebut bagi memastikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat ke sekolah dengan kelengkapan persekolahan yang sempurna.

“Program di Kedah ini ialah program ketiga diadakan oleh IAM selepas program di Kelantan dan Selangor.

“Kesemua kelengkapan seperti beg sekolah, alat tulis, majalah, air kotak dan biskut dibawa dari Kuala Lumpur ke sini untuk diagihkan kepada murid berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, program tersebut akan diadakan di negeri lain bagi membantu murid yang memerlukan bantuan bagi meneruskan persekolahan mereka.

“Pihak kami dapati ada keluarga miskin yang tidak dapat membeli barangan persekolahan anak-anak mereka kerana kekangan kewangan.

“Wang bantuan RM100 yang berikan kerajaan juga digunakan untuk membeli makanan, jadi pihak kami bantu anak-anak yang memerlukan ini dengan memberi kelengkapan sekolah,” katanya.

Zawahir memberitahu, pihak IAM juga menjalankan program jejak prihatin di negeri ini dengan membaiki rumah mereka yang memerlukan.