Saluran darah terputus akibat mercun – Utusan


Saluran darah terputus akibat mercun

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.

KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.

Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.

Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.

“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.

“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.

“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.