Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I


Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat waktu pembelajaran yang terhad dalam bilik darjah menyebabkan pelajar masih tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, untuk mengatasi masalah itu Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris bagi membolehkan penggunaan bahasa itu ditingkatkan.

“NUTP menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dikaji semula pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Saya melihat kurangnya penguasaan yang baik bukan berpunca daripada guru-guru.

“Ia mungkin disebabkan tempoh waktu pembelajaran yang terhad di bilik darjah menyebabkan kurangnya penggunaan bahasa itu oleh pelajar. Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajarannya, namun tidaklah sehingga membebankan guru bahasa tersebut,” katanya kepada¬†Utusan Malaysia¬†di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semalam mahu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasainya sebagai bahasa kedua dan arahan telah dibuat kepada Ketua Pengarah Pelajar agar melaksanakan kajian itu.

Tambah Hashim, sepanjang 13 tahun seseorang pelajar mengikuti sistem pendidikan negara, dalam sehari mereka belajar Bahasa Inggeris hanya 30 hingga 40 minit dan pada sesetengah hari selama sejam hingga sejam 20 minit sahaja.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar guru-guru Bahasa Inggeris ditambah dengan mengambil semula mereka yang sudah bersara bagi mengajar di sekolah berhampiran.

“Mereka itu mempunyai banyak pengalaman dan boleh membantu mendidik pelajar kita di samping menjimatkan wang kerajaan,” ujarnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan turut menyambut baik usaha untuk mengkaji semula pembelajaran subjek itu.

“Audit wajar dibuat untuk melihat secara terperinci kelemahan-kelemahan yang ada dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dari semua segi.

“Penyeliaan guru-guru pakar juga perlu dilakukan terhadap tenaga pengajar bahasa itu untuk memastikan cara penyampaian dan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar,” jelasnya.

Mohamad Ali berkata, tempoh waktu pembelajaran perlu dilihat sama ada mencukupi atau tidak di samping mewujudkan satu hari berbahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah termasuk oleh guru-guru.