Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik – Bernama


Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik

5 September 2012

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir, 67, yang meninggal dunia kerana angin ahmar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini, bukan hanya seorang tokoh politik tanah air, tetapi juga seorang penulis sejarah politik negara.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang pernah bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Politik Malaysia dan Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) lebih dua dekad, telah menghasilkan banyak artikel dan buku mengenai politik tanah air.

Antara hasil penulisannya ialah Dinamika Politik Kepartian Melayu: Satu Persoalan Nilai (1997), Proses Transformasi Politik Malaysia: dari Raja ke Rakyat (1997), Sejarah Politik Melayu (1996), Pemuda Umno 1993-1996 Reaksioner, Proaktif atau Pengikut (1991).

Mahadzir yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945, memulakan karier sebagai seorang guru telah melanjutkan pelajarannya ke UM, sebelum ke University of West Michigan dan University of Chicago, Amerika Syarikat.

Semasa di UM, Allahyarham pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Mahadzir yang bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi Parlimen Sungai Petani, telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan.

Pada Mac 2004, Allahyarham telah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian itu, dan dua tahun kemudian pada 14 Februari 2006, Mahadzir antara tiga timbalan menteri yang digugurkan oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam rombakan Kabinet pertamanya selepas memegang tampuk pemerintahan dan menerajui Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2003.

Sebagai seorang yang suka membaca dan meminati buku, Mahadzir semasa memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen dan timbalan menteri, giat menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan memperluaskan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) ke seluruh Kedah, serta memberi perhatian yang lebih kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada. – Bernama