Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak – Sinar Harian


Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

Sheikh Muszaphar menasihatkan ibu bapa agar memberi galakan sekiranya
anak mereka berminat menjadi angkasawan negara.
SHAH ALAM – Pembelajaran efektif dan bimbingan ibu bapa amat penting untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang sains termasuk angkasa lepas, dalam usaha mengembangkan industri aeroangkasa di negara ini.

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, ibu bapa perlu peka terhadap minat anak masing-masing dan memberi sokongan jika mereka dilihat cenderung menerokai bidang berkenaan.

“Lihat dulu cita-cita anak kita. Jika dia minat hendak jadi angkasawan, belikan buku berkaitan angkasa lepas. “Beri pendedahan kepada mereka tentang bidang di bawah astronomi ini dan galakkan dia belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya itu,” katanya dalam Seminar Melaksanakan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), di sini, semalam.

Seminar anjuran Green Chili Event Services dan Pertubuhan Belia Kota Raja itu dihadiri lebih 150 peserta. Dalam seminar itu, Sheikh Muszaphar turut menceritakan pengalamannya yang terpaksa mengikat pergelangan kakinya supaya tidak terapung ketika menunaikan solat di ISS, pada Oktober 2007.

“Saya dibenarkan bertayamum di sana kerana bekalan air sangat berharga. Saya solat mengikut waktu tempat kapal angkasa Soyuz saya dilancarkan (di Baikonour, Kazakhstan) berdasarkan panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika tidak, saya perlu tunaikan solat sebanyak 80 kali kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali,” katanya.

Sementara itu, peserta seminar, Sharifah Mustafa, 33, berkata, dia menghadiri program bersama anak-anaknya sebagai galakan kepada mereka yang meminati subjek Sains. “Anak sulung saya akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya lihat dia memang minat subjek Sains, skornya pun selalu cemerlang dan berminat hendak jadi angkasawan negara satu hari nanti,” katanya.

Pasangan adik-beradik Muhammad Aiman Zikri dan Nur Syasya Farhana Zain Azrai, masing-masing berusia 12 dan 11 tahun gembira dapat mengikuti program kelolaan idola mereka. “Kami ingin jadi doktor dan berharap dapat jejak kaki ke angkasa lepas,” kata mereka.