Ceupacs Bantah Bank Negara Pendekkan Tempoh Pinjaman – Bernama


Ceupacs Bantah Bank Negara Pendekkan Tempoh Pinjaman

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah tindakan Bank Negara memendekkan tempoh pinjaman.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata tempoh yang diberikan bank berkenaan amat pendek dan boleh memudaratkan pekerja yang membuat pinjaman.

“Cuepacs berharap agar Bank Negara dapat melihat semula pekeliling itu sebelum pihak kami berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan perkara ini,” kepadanya pemberita selepas bermesyuarat dengan Angkasa berhubung isu keberhutangan isi rumah rakyat Malaysia yang berkaitan dengan koperasi di sini, Selasa.

Pada 5 Julai lepas, Bank Negara mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pinjaman peribadi dari 25 kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan kepada 35 tahun.

Omar berkata pekeliling itu sepatutnya memudahkan penjawat awam seperti mengurangkan kadar faedah agar dapat membantu mereka meringankan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata antara tujuan penjawat awam membuat pinjaman peribadi adalah untuk pendidikan, bencana dan menyelesaikan hutang tertunggak. “Sekarang ini umur 45 tahun baru nak beli rumah dan pada jangka 15 tahun lagi nak servis, alamatnya pencen nanti papa kedana,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata langkah Bank Negara memberi kesan kepada koperasi kredit dan pendapatan Angkasa kerana ia dianggotai penjawat awam.

“Pinjaman peribadi memang untuk kakitangan awam, jadi apabila pendapatan berkurangan, untung yang diperoleh pun kurang dan dividen yang diperoleh penjawat awam turut berkurangan serta menjejaskan pendapatan sampingan mereka,” katanya.

Beliau berkata Angkasa turut berpendirian Bank Negara perlu menangguhkan pelaksanaan pekeliling berkenaan untuk dikaji semula demi kepentingan koperasi dan kakitangan awam.

Menjawab soalan lain, Omar mengulangi harapannya agar kerajaan menimbang untuk memberi bonus kepada kakitangan awam, termasuk menjelang Aidilfitri ini. – BERNAMA

Koperasi sekolah perlu naik taraf – Sinar Harian


Koperasi sekolah perlu naik taraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2013

KUALA PILAH – Koperasi sekolah di seluruh negara perlu menaik taraf perniagaan masing-masing dengan mempelbagaikan barangan jualan termasuk keperluan harian pelajar bagi menambah perolehan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata langkah itu juga dapat membantu pelajar terutama di sekolah di luar bandar, yang ada ketikanya terpaksa ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian.

“Saya percaya koperasi sekolah di negara ini boleh berkembang maju dan berjaya sebagaimana kejayaan koperasi di negara yang maju dalam gerakan koperasinya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu hadir  majlis pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja’afar di sini yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Hasan berkata sejak diperkenalkan pada 1960-an dengan hanya sembilan koperasi sekolah perintis, setakat 31 Dis lalu terdapat 2,244 koperasi sekolah di seluruh negara dengan keanggotaan 2.1 juta dan perolehan RM285.2 juta.

Dari segi perniagaan koperasi keseluruhan, terdapat lebih 10,200 koperasi dengan keanggotaan 8 juta, melibatkan aset bernilai RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun, katanya.

Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata Malaysia mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun dan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) mengiktiraf gerakan koperasi sekolah di Malaysia antara yang terbaik di dunia.

Beliau turut memberi contoh koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kota di Kota Bharu, Kelantan yang mencapai perolehan lebih RM1 juta pada tahun lepas.

Kini sudah ada 30 buah sekolah di seluruh negara menjurus ke arah perolehan RM1 juta setahun, katanya.

Ketika berucap pada majlis itu beliau berkata selain memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan dan pentadbiran kepada pelajar, penubuhan koperasi sekolah juga dapat memupuk minat dan mengembleng semangat keusahawanan mereka.

“Angkasa pula telah diberi kepercayaan untuk memainkan peranan dalam membangunkan gerakan koperasi sekolah di negara ini,” katanya. – Bernama

Koperasi sekolah digalak ceburi perniagaan kantin – Bernama


Koperasi sekolah digalak ceburi perniagaan kantin

20 Mei 2013

KOTA BHARU – Koperasi sekolah di Kelantan digalak menceburi bidang perniagaan lebih besar termasuk perniagaan kantin sekolah yang akan menambah pendapatan mereka.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan Anuar Mohd berkata cara itu juga dapat mengelak pertindihan di antara pengusaha kantin dan koperasi yang turut menjual makanan dan minuman di kedai koperasi.

Setakat ini belum ada daripada 156 koperasi sekolah di Kelantan yang menceburi perniagaan kantin sekolah, katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau mengulas langkah Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi melarang koperasi sekolah menjual makanan dan minuman di kedai koperasi kerana bercanggah dengan dasar kementerian itu.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam kenyataannya semalam, memohon kementerian itu mengkaji semula larangan yang dikuatkuasakan 15 April lalu kerana menjejaskan pendapatan koperasi sekolah.

Larangan itu membabitkan 2,216 koperasi sekolah di seluruh negara. – Bernama

Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya – Utusan


Koperasi sekolah disaran sertai Kopsya

ABDUL Fattah Abdullah mengedarkan brosur kempen keahlian Kopsya kepada sebahagian guru di Sungai Petani, Kedah, semalam.

 

SUNGAI PETANI 14 Feb. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperhebatkan kempen menambah keahlian di kalangan 2,200 koperasi sekolah untuk menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) mulai bulan depan.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penyertaan di kalangan koperasi sekolah diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengumpul lebih banyak dana di samping menawarkan kemudahan pembiayaan mudah kepada ahli-ahli yang bernaung di bawahnya.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat mampu membantu kakitangan akademik dan sokongan di sekolah-sekolah agar membebaskan diri daripada dibelenggu masalah hutang dan kemungkinan diisytihar muflis.

“Peranan Kopsya adalah untuk membantu ahli-ahli koperasi di kalangan penjawat awam termasuk di sekolah menstrukturkan semula pinjaman bank mereka.

“Bagaimanapun, untuk membolehkan penjawat awam ini layak mendapatkan pinjaman, mereka perlu menyertai koperasi sekolah terlebih dahulu dan seterusnya menganggotai Kopsya,” katanya pada majlis penutup Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Kedah di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengurus (Pembangunan) Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan Angkasa, Roszurina Omar.

Abdul Fattah memberitahu, setakat ini lebih 200 koperasi kredit membabitkan dana terkumpul berjumlah RM360 juta telah menyatakan komitmen untuk menyertai Kopsya.

“Setiap koperasi disyaratkan menyumbang dana minimum sejumlah RM1,000 atau maksimum RM15 juta untuk menyertai Kopsya,” katanya.