Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef – Bernama


Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef

10 Disember 2012
Kanak-kanak bukan Islam sertai program khatan 1Mindef
Sebahagian anak-anak angkatan tentera yang akan dikhatankan gembira ketika disembur dengan air pada Majlis Berkhatan 1Mindef, hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Lima kanak-kanak bukan Islam, tiga Iban dan masing-masing seorang kanak-kanak Bidayah dan Dayak adalah antara 103 kanak-kanak berumur antara tiga hingga 14 tahun yang menyertai ‘Program Khatan 1Mindef’ hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan di sini.

Bapa salah seorang kanak-kanak bukan Islam itu Sarjan Mancha Luyuh, 38, berkata, amalan berkhatan terhadap anak sulungnya itu, Hernandez, 14, akan dilakukan juga terhadap anak lelakinya yang lain.

“Saya tahu amalan berkhatan ini baik untuk kesihatan melalui rakan-rakan Islam yang lain dan ini mendorong saya untuk mengkhatankan anak saya,” katanya kepada pemberita pada program itu.

Terdahulu dalam ucapan Zulkifeli berkata program itu mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk dari kaum lain.

Beliau berkata, program ini turut berfungsi sebagai salah satu pemangkin untuk memantapkan lagi semangat setiakawan sesama anggota tentera tidak kira apa agama dan bangsa sesuai dengan konsep 1Malaysia.

“Kini amalan berkhatan telah merentasi fahaman agama dan bangsa… untuk tujuan kesihatan,” katanya. – Bernama

Doktor bantah SBPA – Sinar Harian


Doktor bantah SBPA

NORJIMI AZMI LATIF
January 22, 2012
SBPA

SHAH ALAM – Doktor pakar antara yang paling ramai mengadu mengenai kelemahan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu, kerana pendapatan mereka jauh lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Lok Yin Theng berkata, doktor yang lama berkhidmat merasakan sumbangan mereka seolah-olah dianaktirikan kerana pendapatan diterima jauh lebih rendah berbanding mereka yang baru bertugas.
Beliau berkata, Cuepacs menerima banyak surat daripada kategori itu dan meminta pihaknya mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula perkara ini.
“Mereka (doktor pakar) mengadu kerana gaji sebulan terutama dari Gred 51 hingga 54 lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas, sedangkan peranannya di hospital terlalu besar.
“Doktor berkenaan bukan sahaja terkilan dengan gaji yang diterima setaraf guru-guru sekolah, malah tidak berpuas hati kerana doktor yang baru berkhidmat menerima ganjaran lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jika ini dijadikan kayu ukur dalam sistem baru itu, menurutnya, doktor pakar memerlukan jangka masa yang panjang untuk mengejar pendapatan diperoleh anggota Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).
Malah, katanya, doktor berkenaan mempertikaikan pendapatan yang diterima pihak Jusa melebihi RM15,000 sebulan sedangkan bebanan kerja harian golongan ini setaraf guru sekolah.
Menurutnya, Cuepacs tidak mahu perkara ini terus berlarutan kerana boleh menyebabkan ketegangan berlaku di sektor awam.
“Tugas kami untuk melahirkan organisasi awam yang harmoni dan memaklumkannya dengan segera kepada Perdana Menteri untuk diambil tindakan.
“Tarikh pertemuan dengan beliau, saya tidak boleh beritahu mungkin selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Ditanya dakwaan SBPA telah dilaksanakan membabitkan anggota Kumpulan Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis, Yin Theng berkata, perkara itu tidak betul dan jangan dengar khabar angin.
Menurutnya, kerajaan telah berjanji akan melihat semua tuntutan yang dibuat Cuepacs secara menyeluruh bukan untuk pihak tertentu sahaja.
Jika Cuepacs membuat tuntutan kepada bahagian tertentu, katanya, ia seolah-olah menampal baju yang koyak dan tidak memperbaiki bahagian lain.
“Matlamat kami seperti dijelaskan tadi, tidak mahu melihat jurang pendapatan yang ketara antara kelas bawahan dengan atasan. Untuk menambah baik, kami menerima pelbagai cadangan daripada golongan profesional yang mahu kerajaan mengkajinya secara mendalam.
“Mereka berpendapat, SBPA seolah-olah mengiktiraf seseorang individu sahaja sedangkan dalam organisasi kerajaan, kejayaannya kerana peranan semua pihak. Kalau orang bawah tidak buat kerja, usaha pihak atasan jadi sia-sia,” katanya.