Anugerah Kecermerlangan Sekolah SPM diwujudkan – Bernama


Anugerah Kecermerlangan Sekolah SPM diwujudkan

17 Mei 2012

KUALA LUMPUR – Bermula tahun ini, Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan Anugerah Kecemerlangan Sekolah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sekolah di seluruh negara yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu dengan menggunakan indeks Gred Purata Sekolah (GPS).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata GPS menggambarkan pencapaian keseluruhan sekolah berkenaan dalam sesuatu peperiksaan apabila pencapaian semua calon diambil kira dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Kecemerlangan itu juga dibuktikan oleh keupayaan sekolah untuk melahirkan murid cemerlang yang mendapat semua Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah dalam SPM 2011 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Sufa’at Tumin.

Abd Ghafar berkata pihak kementerian melakukan sedikit kelainan pada tahun ini di mana sebelum ini hanya memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Inisiatif ini diharap dapat menyuntik semangat semua warga sekolah terutamanya kepemimpinan sekolah dan tenaga pengajarnya untuk bekerja keras dalam satu pasukan bagi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.

Abd Ghafar berkata Anugerah Kecemerlangan Sekolah SPM 2011 dibahagikan kepada tiga kategori: kategori pertama iaitu sekolah yang mencapai GPS kurang daripada 1.5; kategori kedua iaitu sekolah yang menghasilkan sekurang-kurangnya tiga peratus calon yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran SPM; dan kategori ketiga iaitu sekolah yang berjaya menunjukkan peningkatan GPS sekurang-kurangnya 10 peratus daripada GPS tahun lepas.

“Sebanyak 14 buah sekolah di seluruh negara yang layak menerima anugerah kategori pertama; 16 sekolah untuk kategori kedua manakala 18 buah sekolah dipilih untuk kategori ketiga,” katanya.

Selain itu, katanya, Anugerah Khas Kecemerlangan Peperiksaan SPM juga diwujudkan pada tahun ini bagi memberi penghargaan kepada guru yang berusaha gigih terhadap kejayaan anak muridnya.

Anugerah tersebut disandang oleh Sharifah Afidah Syed Hamid, guru mata pelajaran Sejarah dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu yang mendidik seramai 119 pelajar dengan 91 daripada mereka mendapat A+ dalam mata pelajaran Sejarah.

Ketika ditemui, Sharifah yang berpengalaman mengajar mata pelajaran sejarah selama 20 tahun, berkata bahan pengajaran dan pembelajaran penting bagi seseorang guru menarik minat pelajar mempelajari sesuatu subjek berkenaan di sekolah.

“Sejarah dipandang sebagai mata pelajaran yang membosankan bagi sesetengah pelajar, dan saya tidak menafikan kesukaran untuk mengekalkan prestasi cemerlang pelajar memang ada, tetapi jika kita menaruh sepenuh perhatian dalam menggunakan alat-alat pengajaran dengan baik, nescaya dapat membantu untuk menarik minat mereka untuk mempelajarinya,” katanya. – Bernama