Dua beradik ditinggal ibu – Metro


Dua beradik ditinggal ibu
GUAR CEMPEDAK: “Ibu minta saya dan adik tunggu di rumah kerana dia hendak keluar beli makanan tetapi sampai sekarang tidak pulang menyebabkan kami dibawa tinggal di rumah ibu saudara,” kata Khairul Shafiszam Abdullah, 13, dan adiknya, Khairul Alif Fikri, 10, yang ditinggalkan ibu bapa sejak dua tahun lalu.

Selepas itu, setahun dua beradik itu hidup sendiri di rumah usang ibu bapanya di Kampung Teroi, Yan, dekat sini dan sepanjang tempoh itu sentiasa kelaparan, sering sakit serta tidak bersekolah. Mereka diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada ibu saudara.
Lebih menyedihkan, Khairul Alif Fikri yang mempunyai masalah lembam, cacat kaki dan tangan, kerap sakit selepas mereka ditinggalkan ibu bapa memaksa abangnya memikul tanggungjawab menyara kehidupan mereka berdua.

Khairul Shafiszam berkata, adiknya sering memanggil nama ibu mereka selain tidak mahu makan menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memberi keyakinan ibu bapa mereka akan pulang.
“Saya berjanji kepada adik jika dia tidak makan, ibu takkan pulang menyebabkan adik makan. Kami juga terpaksa tidur dalam keadaan sejuk dalam rumah serba daif dan makan apa saja yang ada asalkan kenyang.
“Mujur ketika itu penduduk kampung prihatin dengan nasib menimpa kami dan sering memberi makanan kerana tidak sanggup melihat keadaan kami semakin kurus,” katanya yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib malang mereka.

Khairul Shafiszam berkata, pada mulanya bapa mereka datang melawat dan menghantar makanan sebulan sekali, tetapi tidak lagi selepas beberapa bulan menyebabkan dia dan adiknya sering kelaparan.
Dia dan adiknya enggan meninggalkan rumah berkenaan kerana masih berharap ibu bapa mereka pulang sehingga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang membawa mereka tinggal sementara di rumah perlindungan.

Mereka dihantar ke rumah ibu saudara di Kampung Berjaya, Titi Bom, dekat sini, selepas diserahkan JKM sejurus mendapat perintah mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, ibu saudara mereka, Che Bashah Man, 62, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan JKM dua anak saudaranya ditinggalkan sendirian di rumah selepas ibu bapa dua beradik berkenaan berpisah pada 2010.
Katanya, dia menyangka kedua-dua beradik itu tinggal dengan ibu mereka (adik perempuannya), Jamilah Man, 48, atau bekas suami adiknya dan terkejut apabila mereka ditinggalkan begitu saja.
“Saya bersetuju menjaga mereka dan mendapat hak penjagaan daripada mahkamah kerana saya waris paling dekat. Saya menghantar Khairul Shafiszam di Sekolah Kebangsaan Guar Chempedak tetapi dia banyak ketinggalan dalam pelajaran malah terus naik ke tahun enam,” katanya.

Pemilik mohon maaf budak digigit anjing – Berita Harian


Pemilik mohon maaf budak digigit anjing

2012/03/21

BUKIT MERTAJAM: Pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak, Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, di Bandar Perda, di sini, Ahad lalu memohon maaf dan menyerahkan nasib haiwan peliharaannya itu kepada pihak berkuasa.

Lelaki yang identitinya enggan dikenali berkata, dia kesal dengan kejadian yang menimpa mangsa hingga kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan selepas diserang anjing peliharaannya.

“Saya dapat merasakan kesukaran yang dialami mangsa dan ibu bapanya kerana saya juga bapa kepada beberapa orang anak. Saya sebenarnya amat berharap kejadian itu tidak menimpa sesiapa, terutama kanak-kanak,” katanya di sini, semalam.

Lelaki itu mendakwa sudah memelihara anjing berkenaan kira-kira dua tahun dan tidak menyangka ia dapat melepaskan diri daripada kurungan sebelum menyerang mangsa.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan nasib anjing itu kepada pihak berkuasa berikutan kejadian itu.

“Saya akan menerima apa saja keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Johari A Bakar, berkata anjing berkenaan akan ditahan sekurang-kurangnya selama 10 hari.
Katanya, jabatan itu akan memantau sama ada anjing berkenaan mempunyai simptom anjing gila sebelum membuat keputusan lanjut. Mengikut prosedur, anjing itu perlu dihapuskan jika didapati berbahaya.

Semalam, akhbar melaporkan Dhiya Qairina parah selepas diserang seekor anjing yang terlepas daripada kurungan ketika menunggang basikal di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang bermain di depan rumah diterkam dari arah belakang oleh anjing berwarna hitam milik jiran sebelum digigit pada belakang bahu, pinggang dan punggung dalam kejadian jam 6.45 petang itu.

Mangsa diselamatkan bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latiff, 47, dan dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke dalam wad.

Berikutan itu, Muhammad Nur Akmal membuat laporan di Balai Polis Bandar Perda dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).