‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’ – Metro


‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MANJUNG: “Arwah pernah menolak apabila mahu dibelikan seragam baru. Rupa-rupanya, dia (arwah) sudah tahu dia takkan sempat meneruskan persekolahan tahun ini,” kata Yusuf Said, 46, bapa kepada arwah, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, mangsa kemalangan maut.

Muhammad Shafik Redzuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir, di sini, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream dinaiki bersama sembilan rakan lain merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas.
Yusuf yang juga seorang nelayan berkata, beberapa hari lalu, dia pernah menawarkan pakaian sekolah baru kepada arwah, namun anaknya menolak.

 

Dia berkata, arwah juga dilihat tidak begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru tahun ini selain banyak mendiamkan diri.
“Malah, arwah hanya mahu saya membelikannya pakaian sukan baru. Dia (arwah) turut memaklumkan baju seragam sekolahnya yang lama masih elok dan tidak perlu membazir wang untuk membeli yang baru.
“Saya akur dengan permintaan itu, namun tidak menyangka ia petanda arwah pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, semalam.

 

 

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dia keluar minum bersama rakan-rakan di Pekan Lekir.
Yusuf berkata, kira-kira jam 12.30 malam, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

 

“Saya terkejut dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana arwah tidak meminta izinnya untuk keluar ke mana-mana malam semalam (kelmarin).
“Kebiasaannya, arwah akan memaklumkan kepada saya setiap kali mahu keluar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.