Pelajar 17 tahun ditahan disyaki terlibat kegiatan curi kereta – Sinar Harian


Pelajar 17 tahun ditahan disyaki terlibat kegiatan curi kereta
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Ogos 2012

Anggota polis melihat rangka kereta yang sudah dileraikan remaja terbabit.
BALING – Seorang pelajar ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Charok Gorok, Asam Jawa kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri dan meleraikan komponen kereta.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan anggota polis cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Baling yang sedang menjalankan Ops Lejang di kawasan Kupang, sebelum mendapat maklumat mengenai kegiatan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, ketika serbuan pelajar terbabit sedang leka meleraikan sebuah kenderaan di sebuah rumah tidak bernombor dengan seorang lagi lelaki dipercayai bapa saudaranya berusia 28 tahun.

Menurutnya, bapa saudara remaja terbabit sempat melarikan dalam serbuan itu dan menjadi buruan polis sehingga kini.

“Hasil pemeriksaan menjumpai enjin dan pelbagai komponen kereta yang dileraikan dalam sebuah kereta berdekatan rumah itu. “Polis juga menjumpai sebuah rangka kereta curi yang sudah dileraikan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar sekolah terbabit berperanan meleraikan komponen kereta curi sebelum dijual kepada pelanggan. “Rangka kereta yang ditemui itu yang dilaporkan hilang di Kupang. Justeru, penahanan remaja ini dapat membantu polis dalam menyelesaikan beberapa kes kecurian kereta sebelum ini,” katanya.

Mat Daud berkata, remaja terbabit dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian kenderaan sebelum ini, malah mampu meleraikan kereta dalam masa yang singkat untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, kerana mencuri, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda.