Remaja antara dituduh rompak bersenjata
14 September 2012
KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang kakitangan hotel di Tanah Merah, bulan lalu.
Tertuduh pertama, pesalah juvenil yang sudah tidak bersekolah didakwa bersama dua lagi rakannya, Mohammad Faqrie Zakaria, 22, dan Mohd Firdaus Mian, 28.
Mereka bertiga berdepan tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas merompak mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Roslee, 16, dengan menggunakan senjata parang serta sabit.
Kesalahan dikatakan berlaku pada jam 3 pagi, 23 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, wang tunai mangsa berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Duos dilarikan.
Pada prosiding semalam, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Susulan itu, Hakim Azman Mustpha menetapkan sebutan semula pada 19 September depan.
Kes bersambung di Mahkamah Pasir Mas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari.