Asrama sekolah terbakar, 81 tinggal sehelai sepinggang – Bernama


Asrama sekolah terbakar, 81 tinggal sehelai sepinggang

 

KUNAK 4 Julai – Sejumlah 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Kunak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak Jaafar Salleh berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 3.20 pagi sebelum menggegaskan dua jentera dan sebuah kenderaan pelbagai guna berserta 11 anggota ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di kawasan sekolah, 90 peratus daripada bangunan asrama sementara itu sudah dijilat api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun dalam kebakaran itu tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya.

Seorang guru sekolah berkenaan, Samsiah Baharon, ketika dihubungi berkata pelajar mula menduduki bangunan asrama sementara itu pada tahun 2011 selepas bangunan asal asrama sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran pada tahun 2010.

Katanya pihak sekolah bersyukur kerana semua penghuni asrama, terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam, selamat.

Difahamkan kesemua penghuni bangunan asrama lelaki yang musnah itu diarahkan kembali ke rumah keluarga masing-masing buat sementara waktu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130704/je_06/Asrama-sekolah-terbakar-81-tinggal-sehelai-sepinggang#ixzz2Y3edT91b
© Utusan Melayu (M) Bhd

Asrama sekolah terbakar – Sinar Harian


Asrama sekolah terbakar
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012
Asrama sekolah terbakar
Hampir 80 peratus bangunan asrama berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.

Guru besar madrasah berkenaan, Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.

Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.

“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.

“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.

“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.

Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.

Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.

Sinar Harian juga dimaklumkan, ada individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.

80 peratus bangunan terbakar

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.