Noh bidas Kerajaan Negeri isu pendidikan
12 Februari 2012

TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri disifatkan tidak mengambil berat soal pendidikan anak-anak Selangor terutamanya mereka yang di luar bandar.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu mengambil inisiatif membela anak Selangor untuk mendapatkan pendidikan lebih baik untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Bila PKR memerintah, mereka jadi seperti tikus membaiki labu bukan hendak membaiki tetapi menjejaskan lagi struktur sedia ada, mereka hendak robohkan asrama Yayasan Selangor itu.
“Kerajaan BN dahulu menubuhkan Yayasan Selangor bagi membantu murid di luar bandar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mendapatkan kemudahan pendidikan lebih baik di sekolah ternama di Kuala Lumpur.
“Anak Selangor yang mendapat tajaan Yayasan Selangor ditempatkan di Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Tetapi apa yang menyedihkan kini adalah pihak pengurusan Yayasan Selangor mahu merobohkan kedua asrama itu dan membangunkan tapak asrama itu bagi projek komersil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun yang dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Selangor, Siti Zaiton Selamat, Pengetua SMK Dato Harun, Ruhana Abd Ghani dan Pengerusi PIBG, Datuk Mohammad Shafie Asnawi.
Noh berkata, mulai tahun ini, Yayasan Selangor juga tidak mengambil pelajar tingkatan satu untuk bersekolah di Kuala Lumpur tetapi menaja pelajar untuk ditempatkan di asrama daerah dan di sekolah berhampiran.
“Jika pelajar ini ditempatkan di asrama daerah, pendedahan dan persaingan di dalam pelajaran tidak sama sebagaimana mereka bersekolah di St John Institution ataupun Victoria Institution dan ini bertentangan dengan matlamat asal penubuhan Yayasan Selangor.
“Yayasan Selangor mendakwa organisasi itu kekurangan dana untuk membiayai operasi persekolahan dan penginapan pelajar tajaan mereka tetapi difahamkan pada 2009 Yayasan Selangor mempunyai dana sebanyak RM80 juta,” katanya.
Isu Universiti Selangor (Unisel) yang mengalami kerugian akibat kemerosotan jumlah pendaftaran penuntut baru turut ditimbulkan dan Noh mengakui turut mendapat maklum balas bahawa ibu bapa kini tidak selesa untuk menghantar anak mereka ke Unisel berikutan menjadi lubuk berpolitik.
Noh turut mempersoalkan janji Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam bidang pendidikan berikutan sumbangan RM1,000 untuk anak masuk ke universiti, yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 tidak dinikmati mereka yang layak.