Gagal elak kereta keluar melulu – Metro


Gagal elak kereta keluar melulu

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang guru bersama lima murid berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki dirempuh kereta lain yang tiba-tiba meluru keluar dari simpang di Kilometer 3, Jalan Kota-Astana Raja, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, guru Tabika Kemas Sungai Timun Nur Masyitah Ibrahim, 24, yang memandu Proton Saga FLX bersama lima murid berusia enam tahun itu dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan futsal dan bola jaring di Tabika Kemas Kota Pekan, dekat sini.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan empat muridnya bersama seorang murid Tabika Kemas Lubok China, Syed Shazwan Sharuddin, Mohd Shafiq Shahmi Aizat, Mohamad Akhmar Mohd Firdaus, Mohd Danish Aiman Omar serta Arina Umairah Mohd Salmi tergamam apabila melihat kereta tiba-tiba keluar dari simpang berkenaan.

“Saya tidak mampu mengelak kerana jarak terlalu dekat menyebabkan berlaku perlanggaran dan seorang anak murid saya, Arina Umairah yang duduk di bahagian penumpang depan lebam di muka kerana terhantuk cermin hadapan.
“Arina Umairah dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut manakala yang lain tidak cedera, namun kelihatan terkejut dan trauma,” katanya. ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Nur Masyitah berkata, dia segera keluar dari kereta dan mengeluarkan lima murid terbabit berikutan bimbang mereka parah.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia 40-an keluar dari simpang secara melulu tanpa memberi laluan kepada Proton Saga terbabit.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/18

30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut – Sinar Harian


30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Januari 2013
30 rumah, dua sekolah rosak dilanda ribut
Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim (tengah) memerhatikan kerosakan di Semenda sambil diperhatikan Noridah (kanan), semalam

REMBAU – Sebanyak 30 rumah serta dua sekolah rosak dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 4.50 petang kelmarin.

Antara kediaman penduduk yang rosak teruk adalah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, Kampung Relong Chengkau, Kampung Penajis, Pulau Acheh dan Astana Raja termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdullah (Semenda) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi, malam kelmarin mendapati lebih 30 pokok tumbang dan turut mengenai sebuah kereta penduduk serta kabel yang terletak di bahu jalan.

Penduduk, Nor Azhar Zulkefly, 22, dia hanya menyedari atap rumah yang didiami sejak 20 tahun lalu rosak dipukul angin kuat selepas merasakan biliknya mulai basah.

Katanya, menyedari kejadian itu, dia bergegas mencari ibu, Sefiah Ismail, 59, yang berada di ruang tamu.

“Saya sempat mematikan suis utama dan membawa ibu ke rumah nenek saya yang terletak berdekatan. Ibu saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Semenda, Siti Noridah Ujang berkata, dia dan beberapa guru bertindak pantas melihat kerosakan awal.

“Kebanyakan bahagian atap bangunan beberapa blok serta asrama diterbangkan ribut, sementara kelas basah, pendawaian elektrik rosak, cermin pecah selain pintu tercabut,” katanya.