Guru bebas tuduhan seks luar tabii dengan pelajar – Bernama


Guru bebas tuduhan seks luar tabii dengan pelajar 

2012/01/31

SHAH ALAM: Seorang guru sekolah rendah hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan seorang pelajar lelaki sekolah menengah di sebuah rumah di Rantau Panjang, Klang, empat tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya melepaskan dan membebaskan Badrul Akmal Ishak, 33, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan terutama keterangan mangsa sendiri bertentangan dengan keterangan sokongan khasnya keterangan ahli kimia dan keterangan perubatan yang mengatakan tiada tanda-tanda mangsa diliwat.

Hakim Slamat berkata pakar bedah, Dr S. Manimaran, memberi keterangan bahawa tidak terdapat kesan luka pada dubur mangsa manakala Dr Chan Swee Sing yang memeriksa mangsa, juga mendapati tiada kesan atau tanda-tanda mangsa diliwat.

Beliau berkata, ahli kimia P.Revathi pula menyatakan hanya DNA Badrul Akmal yang diambil daripada keratan kain dari biliknya, dan tiada DNA mangsa didapati di atas katil atau dalam bilik tertuduh. – BERNAMA

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan – Kosmo


Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan

MUHAMAD ZIQRIL HAKIN telantar di atas pengusung di Hospital Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – “Kami berkelahi tetapi mengapa cikgu masuk campur dan pukul kami berdua sehingga saya cedera teruk.”

Demikian luah seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong di sini yang mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar berkenaan, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar di sekolah tersebut.

“Saya terkejut kerana guru itu menerpa datang dan memukul kami berdua dengan tangannya. Saya dipukul sebanyak tiga kali di muka dan sekali di leher sehingga menyebabkan saya terjatuh.

“Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu dan sedar-sedar saya sudah terbaring di atas katil di hospital. Saya cuma rasa sakit di tengkuk dan kepala saya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.

Lelaki Nepal dalam kamar – Metro


Lelaki Nepal dalam kamar

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: “Memang selama ini naluri keibuan saya seperti ada sesuatu yang tak kena kepada anak gadis. Akhirnya saya bertindak menyiasat sendiri dan luluh hati apabila menangkap anak saya dengan lelaki Nepal di bilik tidur rumah kami,” kata seorang ibu berusia 30-an.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin di Pelabuhan Klang, di sini, wanita terbabit berpura-pura tidur untuk melihat pergerakan anak gadisnya berusia 17 tahun yang sebelum ini di adu jiran menjalinkan hubungan dengan warga asing.
Menurutnya, pada malam kejadian dia nekad mengintai pergerakan anak gadisnya itu selepas kerap menerima aduan perihal kurang menyenangkan.

 

“Biasanya saya tidur di ruang tamu sebab lebih senang menjaga suami yang sakit. Namun, saya runsing memikirkan aduan mengenai anak saya oleh jiran-jiran.
“Kira-kira jam 12.30 tengah malam saya dan suami sudah masuk tidur di bilik dan sebelum itu memang saya lihat anak mundar-mandir macam ada yang tak kena.
“Saya mengintai dan melihat anak keluar membuka pintu rumah sebelum mengajak seorang lelaki di dalam biliknya. Pada masa itu perasaan saya hanya Allah saja yang tahu,” katanya.

 

 

Dia dan suami menyerbu ke dalam bilik berkenaan sebelum memberkas warga Nepal berusia 20-an.
Menurutnya, ketika pintu bilik dibuka dia geram melihat lelaki itu berada di atas katil anak gadisnya dan mereka mengaku sudah sembilan bulan menjalin hubungan dan lelaki itu adalah bekas rakan sekerja kilang anak gadisnya.

 

Bagaimanapun, katanya, dalam kekecohan di rumahnya itu, lelaki Nepal terbabit menyusup keluar dan gagal dikesan.
Sehubungan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam dan merujuk anak gadisnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan menjurus kepada kes rogol.
“Apapun, polis perlu menunggu laporan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dijalankan. Setakat ini suspek yang dikenalpasti belum diberkas,” katanya.

Empat tahun terlantar – Harian Metro


Empat tahun terlantar

Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu.

Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital.
Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.

“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja.
“Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.

Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih.
“Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.
“Cita-citanya memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri berkecai apabila musibah itu berlaku.
“Kami suami isteri sudah puas menangis, namun reda menerima ujian Ilahi,” katanya.
Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.