Akan ada lagi berita gembira untuk penjawat awam – TPM – Utusan


Akan ada lagi berita gembira untuk penjawat awam – TPM

KOTA BHARU 31 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan akan ada lagi beberapa berita baik untuk kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan Pusat sentiasa prihatin dengan kebajikan kakitangan awam dan mahu memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik.

Katanya, langkah itu juga sebagai pengiktirafan kepada golongan tersebut yang telah banyak membantu rakyat terutama peringkat akar umbi.

“Banyak perkara yang dapat diselesaikan oleh kerajaan, saya tahu ada lagi yang masih belum selesai, tunggulah. Baca doa panjang sedikit daripada biasa, akan ada berita-berita baik yang akan keluar tidak lama lagi, insya-Allah.

“Kita menghargai sumbangan penjawat awam kerana tanpa anda semua, saya tidak boleh ada di sini, kita tidak boleh membuat kerja-kerja untuk membantu rakyat kerana mereka memerlukan banyak bantuan.

“Saudara menjadi mata, telinga, kepala dan hati kerajaan untuk turun ke akar umbi, berjumpa dengan rakyat jelata, mengambil tindakan dan mendengar rintihan mereka.

“Jangan biarkan mereka merintih dalam keadaan susah dan daif. Hari ini kerajaan kita mendahulukan rakyat, apa saja yang mereka mahukan kita akan cuba berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri bersama 3,000 penjawat awam Persekutuan dan negeri Kelantan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam kerana golongan tersebut amat penting bagi membantu rakyat.

“Ada pihak yang mahu supaya kakitangan awam dikurangkan. Mereka menyatakan sekiranya memerintah, mereka akan mengurangkan jumlah kakitangan awam. Saya hendak tanya di sini siapa sebenarnya yang mahu jumlah kakitangan awam dikurangkan?

“Negara tidak akan muflis dengan perbelanjaan dan jumlah kakitangan yang besar, kalau hendak muflis sudah lama muflis, 50 tahun dahulu lagi. Hal ini kerana kerajaan kita mempunyai pengalaman dan dapat menguruskan negara dengan baik,” katanya.

Menurutnya, di sesetengah negara, ketika ekonomi terjejas, mereka akan memotong perbelanjaan, tetapi kerajaan sekarang ini tidak seperti itu, bahkan meneruskan perbelanjaan agar rakyat dapat menjalankan aktiviti seperti biasa.

Katanya, kakitangan awam yang ada di negara ini adalah yang terbaik di dunia tetapi mereka perlu terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.

Tambahnya, kejayaan yang dikecapi negara pada hari ini adalah hasil gandingan yang mantap antara penjawat awam dengan kerajaan sejak sekian lama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_04/Akan-ada-lagi-berita-gembira-untuk-penjawat-awam—TPM#ixzz2JePELyqZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

RM201 juta bukti BN tidak gadai sistem pendidikan – Utusan


RM201 juta bukti BN tidak gadai sistem pendidikan

TUMPAT 20 Jan. – Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggadaikan sistem pendidikan di Kelantan meskipun negeri ini ditadbir kerajaan Pas Kelantan yang mempunyai perbezaan pandangan dan pendirian dalam soal politik sejak lebih 20 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat sebaliknya menolak segala sentimen politik yang timbul dan berusaha membangunkan sistem pendidikan di negeri ini secara sama rata seperti yang dinikmati rakyat di negeri lain.

Tegas beliau, tahun ini sahaja sebanyak RM201 juta diperuntukkan kepada Kelantan melalui Bajet 2013 untuk memajukan lagi sistem pendidikan dan membantu rakyat miskin mendapat pembelajaran yang selayaknya.

“Kita mungkin berbeza pendapat, kita mungkin berbalah daripada segi politik tetapi pendidikan terlalu mahal, terlalu tinggi nilainya untuk dijadikan gadaian politik sebab itulah saya memberi jaminan bahawa bumi Kelantan akan terus mendapat perhatian dalam bidang pendidikan.

“Apa sahaja yang terhidang di negeri lain kita tetap memberi sama banyak, sebaik mungkin kepada Kelantan dan Alhamdulillah bidang pendidikan di Kelantan telah terbukti apabila mendapat tempat kedua di seluruh negara dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 guru dan ibu bapa dalam majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Nor Zahidi Omar dan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan pendidikan yang diterima Kelantan tahun ini adalah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sebanyak RM 33 juta, bantuan makanan asrama (RM53.5 juta), bantuan awal persekolahan (RM35 juta), biasiswa pelajar (RM19 juta), program susu 1Malaysia (RM14 juta), rancangan makanan tambahan (RM26 juta), netbook (RM11 juta), baucer buku sebanyak RM5 juta dan wang ihsan (RM5 juta).

“Saya yakin dan percaya dengan bantuan Kerajaan Pusat, insya-Allah ramai anak bangsa kita akan dapat melakukan transformasi yang besar kepada diri sendiri kerana mereka ada peluang dalam bidang pendidikan,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau memberi peringatan bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang digunakan di negara ini yang selalu dikritik pembangkang terutama Pas tidak pernah mengabaikan pendidikan agama Islam malah pengisiannya memberi keseimbangan antara ilmu dan iman.

“Saya jangka bahawa kita tidak boleh politikkan pendidikan kerana dalam soal masa depan anak bangsa tonggaknya ialah ilmu, Allah telah menjanjikannya dan Allah tidak mungkir janji.

“Allah menaikkan martabat sesiapa yang berilmu. Begitu besar peranan ilmu dalam agama jadi kalau kita diperintah Allah untuk menjadi khalifah bumi, macam mana kalau tidak ada ilmu.

“Jadi inilah konsep kita walaupun kita kata sistem kebangsaan tetapi tujuan dan pengisiannya melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu,” tambah beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130121/dn_03/RM201-juta-bukti-BN-tidak-gadai-sistem-pendidikan#ixzz2IZDHthcP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A – Bernama


Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A

29 Disember 2012

BACHOK – Kerajaan pusat memperuntukkan RM492,200 menerusi wang ihsan bagi program anugerah kecemerlangan pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di semua sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata seramai 4,922 pelajar masing-masing menerima RM100 menerusi majlis penyampaian yang diadakan di setiap kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.

“Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pengagihan kecemerlangan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Seramai 665 pelajar cemerlang Tahun Enam dari 34 sekolah rendah di Bachok menerima sumbangan wang ihsan yang diagihkan secara tunai berjumlah RM66,500.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pemberian itu sebagai menghargai kesungguhan pelajar mengharumkan nama Kelantan yang berupaya berada di tangga kedua cemerlang selepas Putrajaya dalam UPSR tahun ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang akan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah, pelajar tingkatan enam dan bakal penuntut universiti.

Awang Adek menegaskan bahawa perbelanjaan wang ihsan digunakan sebaik mungkin dengan pengagihannya dilaksanakan secara telus dan adil serta lengkap dengan laporan auditnya.

“Ini adalah wang rakyat dan saya bertanggungjawab memegang amanah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir wang berkenaan bagi keperluan rakyat berasaskan prosedur yang diputuskan di peringkat jawatankuasa pengagihan,” katanya.  – Bernama

Kerajaan timbang permohonan bank potong gaji penjawat awam – Bernama


Kerajaan timbang permohonan bank potong gaji penjawat awam

17 Jun 2012
KOTA BAHRU – Kerajaan sedang mempertimbang permohonan beberapa institusi kewangan untuk menyediakan kemudahan pemotongan gaji penjawat awam seperti yang dilaksanakan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata permohonan itu belum diluluskan kerana dikhuatiri boleh memberi kesan negatif kepada agensi koperasi sedia ada.

“Kita juga harus menilai kerana kegiatan potongan gaji ini adalah urusan kecil dan tidak mahu urusan itu dibebankan ke atas bank yang biasanya mengendalikan urus niaga lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Aktiviti Peruncitan Koperasi Sekolah Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Adek meminta koperasi mempergiat kegiatannya di peringkat sekolah kerana langkah tersebut penting bagi memastikan matlamat 10 peratus pertumbuhan ekonomi Dalam Keluaran Negara Kasar (KDNK) tercapai menjelang 2020.

Mengulas tahap pencapaian di peringkat sekolah, beliau berkata terdapat 2,216 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan lebih dua juta anggota terdiri daripada guru serta pelajar, membabitkan saham bernilai RM19.76 juta dan perolehan pendapatan RM263.57 juta.

“Ini merupakan angka yang besar daripada segi keanggotaan koperasi jika diterjemahkan dalam urus niaga yang begitu besar,” katanya. – Bernama

BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan – Bernama


BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan

BACHOK 13 Mei – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memansuhkan yuran pengajian sebanyak RM190 setahun yang dikenakan kepada murid sekolah agama di Kelantan sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, yuran yang dikenakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) ketika ini sangat membebankan golongan ibu bapa.

“Kita berjanji akan memansuhkan yuran berkenaan, jika diberi kepercayaan (memerintah),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok di Pangkalan Petah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa yang terpaksa menanggung bayaran yang tinggi untuk anak mereka yang sedang belajar di sekolah agama.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata selain memansuhkan yuran itu, kerajaan BN juga berjanji untuk menaikkan taraf sekolah agama rakyat di negeri itu yang dalam keadaan kekurangan.

Beliau berkata ini termasuk gaji guru dan kakitangan yang kini agak rendah dan tidak diberi taraf pencen walaupun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Ramai di kalangan mereka telah mengadu kepadanya mengenainya dan saya sangat bersimpati dengan nasib mereka, katanya. – BERNAMA