Terpaksa catu makanan anak – Sinar Harian


Terpaksa catu makanan anak

SYAMILAH ZULKIFLI
21 Oktober 2012
Terpaksa catu makanan anak
Patima bersama tiga anaknya yang berusia antara 5 dan 10 tahun.

SEREMBAN – “Kita orang susah,” jawab Patima Bee Bee Athamsa, 40, setiap kali anaknya bertanya kenapa dia tidak ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain sebaya dengannya.

Patima terpaksa memberi alasan itu untuk menenangkan hati anaknya berikutan dihimpit kesusahan selepas kematian suami, Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, Patima juga seorang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan kekal pada kedua belah tangannya akibat tersepit pada mesin ketika bekerja di sebuah kilang, 20 tahun lalu.

Disebabkan mahu berjimat, Patima terpaksa mencatu makan anak-anaknya walaupun jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Kadang-kadang saya terpaksa mencatu makanan anak saya kerana perlu berjimat.

“Setakat ini, makanan paling mewah untuk kami anak-beranak pun hanya mi segera dan bubur nasi sahaja. Kadang-kadang anak saya minta ayam goreng, tapi saya terpaksa bagitahu mereka, kita tidak ada duit,” katanya.

Menurutnya, dia bagaikan hilang arah memikirkan masa depan bersama anak-anak selepas kehilangan tempat bergantung.

“Selama ini suamilah tempat saya dan anak-anak bergantung. Bila dia sudah tiada, kehidupan sangat perit dan perlu membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Dua anak saya berusia lima dan enam tahun sepatutnya sudah boleh dihantar ke prasekolah. Tapi saya tidak ada duit menyebabkan hasrat mereka untuk belajar sama seperti kanak-kanak lain terpaksa dilupakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Kerajaan Dusun Nyior, dekat sini, semalam.

Patima berkata, buat masa ini, dia hanya mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat, selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah RM280 sebulan, selain bil air dan elektrik.

Terdahulu, Patima menerima kunjungan daripada Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Masyarakat Negeri Sembilan (PKKMNS)

Pengerusi PKKMNS, Amir Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah memanjangkan nasib dihadapi Patima kepada pihak JKM untuk tindakan lanjut.

“Kita simpati dengan Patima yang dihimpit kesusa-han. Saya sudah berbincang dan memohon JKM agar menaikkan jumlah bantuan bulanan diterimanya dan kita masih menunggu.

“Bagi masalah lain, saya akan cuba bantu setakat yang mampu. Kita harap mana-mana pihak yang simpati dan inginkan membantu bolehlah menghulurkan bantuan,” katanya.