Lima pelajar melecur

Mohd. Fadzli Syah yang melecur di leher, dada, perut, siku dan lutut akibat terkena percikan bara api menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Kegembiraan pelajar sebuah sekolah menengah di Cheras di sini, memasak BBQ sempena jamuan Aidilfitri bertukar tragedi apabila lima daripada mereka melecur termasuk tiga parah gara-gara seorang guru menyimbah pencair (thinner) ke dalam tempat pemanggang mengandungi bara api sehingga berlaku letupan.
Mangsa yang parah terdiri daripada dua pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima manakala dua lagi yang cedera ringan tidak dapat dipastikan.
Difahamkan kesemua mereka melecur tujuh hingga 25 peratus.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, kesemua mangsa merupakan antara 20 pelajar yang dibahagikan tugas untuk menyediakan ayam panggang pada majlis berkenaan.