Pelajar berusia 13 tahun maut dirempuh lori tanah – Bernama


Pelajar berusia 13 tahun maut dirempuh lori tanah
1 Ogos 2013

ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Alor Pudak, Pendang petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang itu mangsa Mohammad Fitri Mohd Zamri dari Kampung Alor Berala, Tobiar, Pendang maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan muka.

Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 milik bapanya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang dikatakan menunggang motosikal tersebut dengan lajuĀ  merempuh bahagian belakang lori yang dalam perjalanan ke Alor Pudak.

“Lori tanah itu berhenti dan menunggu untuk belok dan mangsa tiba-tiba merempuh bahagian belakang lori. Mangsa yang maut di tempat kejadian kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Datuk mangsa Taib Abdullah, 65, berkata selalunya mangsa melalui jalan kampung untuk pergi dan balik ke sekolah dan tidak menyangka cucunya itu menggunakan jalan raya untuk ke sekolah hari ini.

Katanya ibu bapa Mohammad Fitri juga telah merancang untuk membeli pakaian hari raya untuknya serta adiknya yang berusia lapan tahun sebagai persediaan untuk menyambut Aidikfitri tidak lama lagi.

Jenazah Mohammad Fitri dikebumikan di Tanah Perkuburan Tualang dekat sini. – Bernama