
Wan Ahmad ( enam, kiri) dan Wan Safinah ( lapan, kiri) bergambar dengan sebahagian dari pelajar SMK Puteri, yang menerima sumbangan zakat dari PWMK.
KOTA BHARU – Sejumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, dekat sini, gembira menerima zakat sumbangan Persatuan Wartawan Melayu Kelantan (PWMK) yang menyaksikan majlis itu diwarnai dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian lagu patriotisme, nasyid, bacaan al-Quran beramai-ramai dan sebagainya di dewan sekolah itu, baru-baru ini.
Pengetua SMK Puteri, Wan Safinah Wan Hamad berkata, pihak sekolah bangga dengan peranan yang dimainkan oleh PWMK bukan sahaja merealisasikan kursus kerjaya kewartawanan untuk mengembangkan bidang media massa dan penulisan yang profesional tetapi turut beramal di bulan Ramadan ini dengan aktiviti menderma kepada pelajar yang memerlukan bantuan.
“Kita memberi respons serta penghargaan yang tinggi kepada PWMK yang pertama di Kelantan memperlihatkan kesungguhan dalam aktiviti kebajikan sosial di bawah pimpinan presidennya, Dr.Alias Mohamed merupakan tokoh dermawan yang tidak asing lagi,’’ katanya ketika berucap di majlis itu.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PWMK, Wan Ahmad Wan Hassan dan turut hadir setiausaha agungnya, Wan Fauzi Wan Mohamood, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah PPD Kota Bharu, Nik Suzila Nik Abdullah, para guru, ibu bapa dan lain-lain.
Wan Safinah berkata, sumbangan juga diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak terutama pelajar miskin dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan wang sedekah untuk meringankan beban keluarga pelajar yang miskin bagi menghadapi dunia pendidikan yang lebih kondusif dan signifikan.
Sementara itu, Nik Suzila berkata, pihak jabatan pelajaran memang berhasrat untuk melahirkan pelajar-pelajar yang tinggi pencapaian di bidang pendidikan dan yang pakar dalam pelbagai bidang profesional yang masih diperlukan oleh negara.