Jawatankuasa khas sampai maklumat pendidikan – Metro


Jawatankuasa khas sampai maklumat pendidikan

 0  0 Google +0  0  0

Putrajaya: Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk menyampaikan maklumat khusus berkaitan bidang pendidikan kepada kaum India, sekali gus memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut membabitkan penyertaan wakil daripada MIC termasuk Putera, Puteri dan wanita serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hal ehwal pendidikan. “Jawatankuasa ini akan membantu menyampaikan maklumat penting mengenai inisiatif sudah dan akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan semua rakyat khususnya kaum India dapat menikmati dan menambah baik hidup mereka dalam aspek pendidikan. “Misalnya, pelajar boleh mendapatkan maklumat mengenai cara memohon untuk menyambung pelajaran, keperluan serta syarat minimum yang tetapkan supaya mereka tidak membuat kesilapan ketika proses permohonan itu,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Pergerakan Pemuda MIC dan Kelab Belia Tamil Malaysia di sini, semalam. Beliau berkata, langkah mewujudkan jawatankuasa itu juga dapat memudahkan kaum India di negara ini menyalurkan permasalahan dan isu berkaitan pendidikan terus kepada kerajaan. Menurutnya, jawatankuasa itu menambah baik setiap maklumat memudahkan pelajar, sekali gus memastikan mereka mendapat informasi terkini. “Justeru, jawatankuasa ini diwujudkan dan kita berharap usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum India,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03

MAKLUMAN BERKAITAN PUSAT LATIHAN 1MALAYSIA


MAKLUMAN BERKAITAN PUSAT LATIHAN 1MALAYSIA

26 July 2013

Pusat Latihan 1Malaysia atau 1Malaysia Training Centre (1MTC) kini  menyediakan kemudahan perkhidmatan menerusi gerbang elektronik. Portal 1MTC menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada penjawat awam, sektor swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam mengenai :

  1. Informasi  dan carian  kursus  yang ditawarkan oleh Institut Latihan Awam.
  2. Membuat tempahan fasiliti dan kursus yang ditawarkan oleh Institut Latihan Awam dan;
  3. Pembayaran secara atas talian.

Maklumat lanjut boleh dilayari di Portal 1MTC melalui pautan:   http://www.1mtc.gov.my

Lengkap kanak-kanak dengan teknik seni pertahan diri – Bernama


Lengkap kanak-kanak dengan teknik seni pertahan diri

3 Februari 2013

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menasihatkan ibu bapa supaya mempertimbang menghantar anak-anak mereka ke kelas seni mempertahankan diri bagi melindungi diri sendiri apabila berdepan situasi berbahaya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kanak-kanak mungkin berdepan risiko dicederakan atau dianiaya, jadi adalah satu keperluan bagi mereka untuk mempelajari teknik mempertahankan diri.

Beliau percaya dengan mengetahui seni mempertahankan diri ia menyediakan ketangkasan mental dan fizikal di kalangan kanak-kanak memandangkan mereka adalah lemah dari segi kekuatan fizikal berbanding orang dewasa.

“Dengan mempelajari teknik mempertahankan diri, kanak-kanak dapat menguruskan diri sendiri walaupun apabila ibu bapa mereka tidak ada berdekatan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kanak-kanak akan mempunyai kepintaran yang diperlukan untuk terus hidup dalam persekitaran bandar jika mereka mengetahui untuk menjaga keselamatan diri daripada orang asing apabila mereka bersendirian sama ada semasa ke sekolah atau bersantai di taman permainan.

Bekas tenaga pengajar taekwondo, N. Gaury, 27, berkata seni mempertahankan diri perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak pada usia lima tahun bagi membantu membangunkan keyakinan dan keperibadian mereka.

Beliau menjelaskan, semua kanak-kanak diajar mengikut kemampuan mereka dan tidak pernah didesak untuk melaksanakan sesuatu di luar kemampuan mereka.

Katanya, dengan mempelajari seni mempertahankan diri ia sudah pasti akan meningkatkan keyakinan dan harga diri di kalangan pelatih.

“Apabila mereka yakin mempertahankan diri sendiri, mereka akan berasa selamat apabila melakukan aktiviti harian,” katanya.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berpendapat sesetengah ibu bapa kerap mengabaikan seni mempertahankan diri sambil berkata mempertahankan diri bukan hanya mempelajari cara berlawan.

Beliau menjelaskan sesetengah ibu bapa mungkin berpendapat mempertahankan diri menggalakkan keganasan tetapi ia sebenarnya membantu untuk mendidik kemahiran untuk bergaul dengan orang lain dan mendisiplinkan diri sendiri.

Malah beliau mengingatkan ibu bapa jika jurus seni mempertahankan diri yang sebenar dipelajari dalam kelas tidak boleh digunakan dalam senario kehidupan sebenar, kemahiran itu boleh memupuk keyakinan di kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa dan perkara pertama mereka perlu lakukan adalah untuk mendidik anak-anak mereka untuk membezakan antara orang yang baik dan yang jahat bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini,” katanya. – Bernama

Nafi diskriminasi terhadap murid India – Berita Harian


Nafi diskriminasi terhadap murid India

2012/12/16 – 03:14:37 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Persatuan Sivik India Malaysia (PSIM) menolak dakwaan berhubung berlaku diskriminasi terhadap murid India di negara ini, khususnya di Johor.

Pengerusi Biro Pendidikannya, A Reventharan, berkata dakwaan dibuat dua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) menerusi sebuah akhbar harian Tamil itu, bukan saja tidak berasas tetapi berniat jahat serta bermotifkan politik.

“Menerusi kenyataan disiarkan sebuah akhbar Tamil minggu lalu, dua pemimpin NGO itu membuat tohmahan mendakwa kerajaan melakukan diskriminasi terhadap murid India yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dua pemimpin NGO itu membuat tohmahan mendakwa kerajaan melakukan diskriminasi terhadap murid India yang cemerlang dalam UPSR,” A Reventharan, Pengerusi Biro Pendidikan PSIM

“Dakwa mereka, ia termasuklah menafikan hak murid itu berada dalam kelas terbaik atau memasuki aliran vokasional. Malah, mereka mendakwa murid India dikenakan syarat 5A untuk memasuki aliran vokasional, berbanding kaum lain.

“Mereka juga mendakwa setiap permohonan murid India yang cemerlang memasuki sekolah menengah dibuat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyebabkan ramai yang tidak berpeluang memasuki aliran itu atau ditempatkan di kelas terbaik,” katanya.

Dedah tohmahan

Beliau hadir ke pejabat NSTP Johor Bahru bersama Ahli Jawatankuasa PSIM, R J M Santhosa Singam, bagi mendedahkan tohmahan tidak berasas itu kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Reventharan berkata, curiga dengan dakwaan itu, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan PPD Johor Bahru dan JPN Johor bagi mendapatkan kepastian serta maklumat mengenai isu terbabit.

“Pertama sekali, kami curiga kerana kenyataan itu dibuat tanpa bukti, melainkan tuduhan melulu semata-mata,” katanya.

Program Back to School akan ke setiap negeri – Sinar Harian


Program Back to School akan ke setiap negeri

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Oktober 2012
Program Back to School akan ke setiap negeri
Editor edisi Terengganu, Wan Normi Hassan sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan peserta Back To School.

KUALA TERENGGANU – Selepas menjelajah Terengganu dan Kelantan bagi membantu golongan memerlukan, program Back to School dianjurkan Yayasan Nur-Karangkraf akan melebarkan langkah ke setiap negeri.

Timbalan Pengerusi Yayasan Nur-Karangkraf, Sharah Ibrahim berkata, Back to School merupakan aktiviti sepanjang tahun yang dijalankan Yayasan Nur-Karangkraf iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dibawah Kumpulan Media Karangkraf.

“Aktiviti di bawah program Karangkraf Peduli Duafa ini membantu meringankan beban mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan kurang berkemampuan secara konsisten.

“Kali ini, program bagi dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu dipilih sebelum musim tengkujuh bagi memudahkan sumbangan disalurkan kepada mereka,” katanya.

Menurut Sharah, Yayasan Nur-Karangkraf mengalu-alukan dan menjemput anak yatim, ibu tunggal dan orang yang kurang berkemampuan untuk menyertai aktiviti itu bagi merealisasikan objektif mereka.

“Kita harap dengan dana yang terkumpul sebanyak 10 sen melalui setiap pembelian majalah ini akan dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kami juga berharap, agar sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak mampu memberikan senyuman dan meringankan beban mereka,” katanya.

Lelaki separuh bogel gagal lari – Sinar Harian


Lelaki separuh bogel gagal lari
MOHD SHAIFUL AHMAD AZHAR
21 Jun 2012

Terdapat tinggalan kondom di lokasi pasangan remaja terbabit melakukan hubungan seks.
KULIM – Gara-gara takut dicekup, sepasang kekasih berusia antara 17 dan 18 tahun yang sedang melakukan hubungan seks melarikan diri ketika didekati kumpulan penduduk kira-kira jam 3.45 pagi, di pondok rehat sebuah taman perumahan, di sini semalam.

Aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Kulim, Mohd Rashdan Yaakob, 30, berkata, dia menerima maklumat penduduk yang curiga dengan kehadiran motosikal diletakkan di dalam pondok rehat di situ.

Menurutnya, ketika dia bersama tiga penduduk lain mendekati lokasi pasangan terlibat, si perempuan menyedari kehadiran mereka.

“Mulanya disangka motosikal Honda yang ada dalam pondok rehat itu mungkin dicuri memandangkan terdapat beberapa laporan kehilanganmotosikal hari ini, jadi kami membuat intipan.

“Memang kami nampak motosikal, tetapi suspek terlibat tidak ada. Setelah kami berada kira-kira 10 meter dari pondok itu, baru kami terdengar suara perempuan.

Kami buat rancangan menahan kedua-dua mereka, namun pasangan perempuan yang memakai baju kurung tiba-tiba bangun dan melarikan diri dengan motosikal,” katanya.

Mohd Rashdan berkata, pasangan lelaki yang ada di pondok itu tidak dapat melarikan diri lebih jauh kerana tidak berseluar, tetapi masih berbaju.

Menurutnya, setelah ditahan pihaknya menasihati remaja lelaki terbabit berhubung perbuatannya bersama pasangan yang tidak baik dan berdosa sebelum dia dilepaskan.

Katanya lagi, perlakuan maksiat melibatkan remaja semakin membimbangkan dan kebanyakan mereka melakukannya terdiri kalangan remaja dan pelajar sekolah.

“Selain padang permainan, pasangan terlibat akan melakukan hubungan seks bersama kekasih di bangunan tinggal. Sepanjang minggu ini, tiga pasangan kekasih berjaya ditahan dalam keadaan mengaibkan.

“Mereka ditahan selalunya beri alasan, keluarga telah mengetahui hubungan mereka atau sudah bertunang atau akan bernikah tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, hukuman denda mahupun penjara terhadap pasangan remaja yang kebanyakannya tidak mempunyai duit poket sendiri bukan cara positif mendidik masyarakat.

Menurutnya, antara cara adalah dengan mengadakan dialog bersama penduduk atau menasihati golongan berkenaan dan memberi tumpuan kepada pelajar bermasalah.

“Kalau hendak berkeras pun biar kena pada tempatnya.

Sebagai orang awam yang sering berhadapan masalah seperti ini, saya dan rakan lain lebih selesa sekiranya pasangan terlibat dinasihati.

“Lagipun yang ditahan, didenda dan penjarakan adalah orang Islam dan bukan beragama lain yang boleh tersenyum kerana tidak dikenakan sebarang tindakan,” katanya.

NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus – Berita Harian


NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus

Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2012/05/22

Minta kaji semula pertandingan tulis surat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tidak bersetuju kaedah pemberian 10 peratus markah penilaian kokurikulum sekolah kepada peserta pertandingan menulis surat 1Malaysia.

Ia memberi jalan pintas kepada pelajar memperoleh markah maksimum dalam kokurikulum tanpa perlu membabitkan diri dalam aktiviti lain.

Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja. – Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Sehubungan itu, mereka meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula perkara itu kerana ia bakal mendatangkan masalah kepada pihak sekolah dalam menggalakkan pelajar terbabit dalam semua aktiviti kokurikulum.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata pemberian markah itu juga disifatkan terlalu tinggi berikutan hanya membabitkan satu cabang kokurikulum.

“Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja.

“Perkara ini juga harus diperjelaskan semula supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan tidak bertentangan dengan hasrat untuk melihat pelajar aktif dalam bidang kokurikulum secara keseluruhan termasuk sukan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Pos Malaysia menganjurkan pertandingan menulis surat 1Malaysia bermula 1 April lalu dan pelajar yang mengambil bahagian akan menerima 10 peratus daripada markah penilaian kokurikulum sekolah bagi menghargai penyertaan mereka dalam program itu.

Ia terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara berusia 9 hingga 17 tahun dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti pemenang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata penghargaan bagi peserta pertandingan itu seharusnya tidak membabitkan pemarkahan pelajar dalam sistem persekolahan, sebaliknya lebih baik jika difokuskan kepada ganjaran lain dalam bentuk fizikal.

Pada masa sama, katanya, pemberian 10 peratus itu juga disifatkan tidak adil bagi pelajar lain yang terpaksa berkorban masa dan tenaga memperoleh markah maksimum melalui aktiviti sukan, berbanding peserta pertandingan itu.

Saat manis lihat An-Nur gerak kaki – Metro


Saat manis lihat An-Nur gerak kaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Melihat anak kesayangan, An-Nur Mohd Affandi, 9, yang mengalami Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease sejak lahir mampu mengangkat dan menggerakkan kaki sendiri saat paling menggembirakan pasangan Mohd Affandi Ramli dan isterinya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin.

Ia berlaku beberapa hari lalu, selepas lebih sebulan kanak-kanak itu mendapatkan rawatan latihan fisioterapi dan program pemulihan intensif di Hospital Erkang, Beijing, China.
Mohd Affandi berkata, mereka gembira dan bersyukur dengan perkembangan positif ditunjukkan anak bongsunya itu.

 

“Setiap hari An-Nur diberi rawatan akupuntur, urutan dan herba bagi memulihkan kesihatan dalamannya. Alhamdulillah selepas dua minggu, kaki An-Nur yang sebelum ini lurus menegang lembut dan boleh dibengkokkan perlahan-lahan tanpa dia merengek seperti sebelum ini,” katanya ketika dihubungi menerusi SMS dari Beijing, China di sini, semalam.
“Kami bersyukur selepas melihat An-Nur menggerakkan kaki sendiri selepas sekian lama kakinya hanya lurus menegang.
“Alhamdulillah, perkembangan ditunjukkan An-Nur sangat positif,” Mohd Affandi, Raja Rohaisham dan An-Nur berlepas ke China pada 13 Februari lalu selepas badan bukan kerajaan (NGO) Hope2Walk melancarkan Tabung Harapan Annisa dan An-Nur tahun lalu, untuk mendapatkan dana bagi membantu kanak-kanak itu.

 

 

Tabung itu pada mulanya dilancarkan untuk membantu dua anak pasangan berkenaan yang mengalami penyakit sama iaitu Annisa dan An-Nur, namun Annisa meninggal dunia hanya selepas sebulan tabung dilancarkan.
Katanya, tiga bulan pertama rawatan lebih kepada usaha merangsang luahan emosi dan kesihatan dalamannya.

 

Katanya, kini An-Nur lebih aktif dan anggota badannya semakin lembut, malah sistem perkumuhan bertambah baik dan mampu membuang air besar setiap hari berbanding seminggu sekali, sebelum ini.
“Lebih menggembirakan, berat badannya naik dua kilogram (kg) dalam sebulan. Ini memudahkan proses rawatan, sekali gus mengelakkan tulangnya patah.
“Emosinya juga semakin peka dan mampu menzahirkan emosi, apabila ketika menangis dia mengeluarkan air mata,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Hope2Walk, Nashita Md Noor berkata, melihat perkembangan positif ditunjukkan An-Nur memberi semangat kepada badan itu terus berusaha mendapatkan bantuan orang ramai.

Sumbangan buku untuk PSS luar bandar – Berita Harian


Sumbangan buku untuk PSS luar bandar
Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2012/03/02

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Bantu generasi muda baca buku bermutu, pupuk amalan membaca

PUTRAJAYA: Agensi swasta, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran tampil memberi sumbangan atau tajaan untuk membekalkan bahan bacaan bermutu bagi kegunaan pusat sumber sekolah (PSS) terutama di luar bandar, dalam usaha membantu kelangsungan agenda pendidikan negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, berkata tanggungjawab sosial seumpama itu dapat membantu generasi muda di luar bandar memperoleh kepelbagaian buku bermutu untuk dibaca kerana sumber bacaan paling mudah yang boleh diakses oleh mereka ialah di PSS.

Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain. – Noorainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, nisbah buku dengan bilangan murid di kebanyakan sekolah luar bandar masih belum mencukupi untuk membolehkan setiap murid berpeluang meminjam buku pada kadar yang maksimum.

“Bagi memupuk amalan membaca, pelbagai pendekatan menarik dan bersesuaian perlu diambil oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Selain sentiasa diingatkan dengan kebaikan amalan ini, infrastruktur yang baik dan kepelbagaian bahan bacaan mampu menyemarakkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Minda Kebangsaan (YMK) mewujudkan program usaha sama bagi membekalkan bahan bacaan kepada 500 PSS sekolah rendah luar bandar terpilih di seluruh negara. Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain,” katanya berucap melancarkan Program Sosial Korporat Pendidikan (PROSKOP); Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud: Pengerusi Eksekutif YMK, Kamarulzaman Kamdias dan Pengarah Urusan Ana Muslim, Othman Mohamed.
PROSKOP ialah program usaha sama antara YMK, Kementerian Pelajaran dan Ana Muslim selaku pembekal bahan bacaan bagi meminta sumbangan dan keprihatinan pihak korporat dan swasta membiayai projek membekalkan bahan bacaan di sekolah rendah luar bandar.

Setiap sekolah terpilih akan menerima 2,500 set bahan bacaan tambahan bernilai RM2,000 terbitan Blue-T Communications Sdn Bhd merangkumi Ensiklopedia Kanak-Kanak Muslim, Siri Lagenda, Siri Bacaan Ana Muslim, Siri Sains Ana Muslim-Tubuh Manusia dan Siri Sains Ana Muslim-Teknologi Kitar Semula.

Setakat ini, sejumlah RM368,000 berjaya dikumpulkan bagi membiayai program bernilai kira-kira RM1 juta ini. Antara yang telah menyumbang ialah NAZA Motors, Syarikat Perumahan Negara Berhad, SME Bank, Yayasan Budimas, OnlySha Venture Enterprise dan Tetap Dinamik.

Sementara itu, Abd Ghafar berkata, nisbah murid dengan koleksi PSS pada masa kini ialah 1:15 bagi sekolah rendah dan 1:20 bagi sekolah menengah.
Beliau berkata, dengan adanya bantuan syarikat swasta, koleksi bahan bacaan di PSS dapat ditambah dari semasa ke semasa dan Kementerian Pelajaran juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan jumlah ini mengikut piawaian yang ditetapkan.

Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil – Bernama


Sidang khas bincang masa depan sekolah Tamil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Persidangan khas membincangkan masa depan sekolah jenis kebangsaan Tamil perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persidangan itu membabitkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah terbabit.
Katanya, ia termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas peralihan untuk pelajar sekolah terbabit.

 

“Masalah kekangan guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah serta keperluan lain, patut dibincangkan pada persidangan itu,” katanya pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kinrara, di sini semalam.
Beliau berkata, rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis terbabit.
“Kerajaan komited dan ikhlas memajukan pendidikan sekolah Tamil serta sekolah lain,” katanya, yang turut mengumumkan kerajaan sudah meluluskan pembinaan enam lagi SJK Tamil di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

 

 

Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan ‘lesen’ membina tiga SJK Tamil di Selangor iaitu di Taman Sentosa (Klang), Taman PJS1 (Petaling Jaya) dan Bandar Mahkota (Cheras). – Bernama