Guru Hina Pasukan Keselamatan Kes Terpencil – Awang Adek – Bernama


Guru Hina Pasukan Keselamatan Kes Terpencil – Awang Adek

BACHOK: Tindakan seorang guru di negeri ini yang menghina anggota keselamatan dalam Operasi Daulat di Sabah merupakan kes terpencil dan tidak menggambarkan pendirian lebih 30,000 guru di Kelantan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, sebahagian besar guru di Kelantan menyokong penuh tindakan kerajaan memburu pengganas di Lahad Datu, Sabah.

“Mereka berdiri teguh di belakang kerajaan dalam usaha mendaulatkan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok di sini, Jumaat.

Guru lelaki berusia 37 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali itu dikatakan menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu melalui laman sosial Facebook miliknya. Dia dibebaskan sementara dengan jaminan polis pada Khamis.

Dia ditahan di sebuah rumah dekat Gong Serapat, Pasir Puteh pada 14 Mac lalu.

Ketika berucap pada majlis itu, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata jika Barisan Nasional kembali memerintah Kelantan, banyak lagi projek besar akan dibina di Bachok.

Ini termasuk hospital daerah dengan peruntukan RM100 juta di Bakong dan Universiti Teknologi Mara di Sungai Dua atau Kampung Kemayan. –BERNAMA

Mustapa: Guru perlu rasional terima maklumat pembangkang – Bernama


Mustapa: Guru perlu rasional terima maklumat pembangkang

25 Februari 2013
Mustapa Mohamed
Dato’ Seri Mustapa Mohamed

KOTA BAHRU – Guru dinasihat agar bertindak secara rasional apabila menerima sebarang maklumat daripada pihak pembangkang yang tidak berpaksikan kepada kebenaran dan boleh merosakkan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata fitnah daripada pembangkang akan lebih memuncak menjelangnya pilihan raya umum akan datang yang pastinya menjadikan guru sebagai antara sasaran menaburkan fitnah itu.

“Guru-guru perlu buat pertimbangan wajar dan jangan sama sekali terpengaruh dengan pihak yang mahu merosakkan negara kita ini.

“Apa yang dibuat perlu berasaskan kepada kebenaran kerana yang penting untuk kita semua terus mewujudkan negara yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Transformasi Kelantan di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan di Tanjong Chat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustafa serta lebih 800 guru kaunseling sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata guru di Kelantan perlu memahami perkara sebenar yang kononnya diperjuangkan pembangkang terutama membabitkan soal royalti minyak dan sebagainya.

“Saya telah difitnah antara orang yang bertanggungjawab tidak membawa pembangunan di Kelantan selama ini. Dalam satu demonstrasi pembangkang, ada patung saya yang disebat mereka dan ini satu tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Menurutnya sejak menjawat beberapa portfolio menteri sebelum ini beliau telah membawa beberapa projek besar kepada rakyat Kelantan seperti Universiti Malaysia Kelantan, Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan dan juga Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua.

“Sebab itu PRU-13 ini adalah sangat penting kepada rakyat Kelantan untuk membuat perubahan. Rakyat Kelantan juga sebahagiannya masih tidak mendapat maklumat sebenar apa yang kononnya diperjuangkan pembangkang itu,” katanya.

Pada majlis itu Mustapa  turut berdialog dengan peserta dan menjelaskan isu terkini seperti pelaburan dan politik semasa. – Bernama

BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan – Bernama


BN janji mansuh yuran sekolah agama Kelantan

BACHOK 13 Mei – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memansuhkan yuran pengajian sebanyak RM190 setahun yang dikenakan kepada murid sekolah agama di Kelantan sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, yuran yang dikenakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) ketika ini sangat membebankan golongan ibu bapa.

“Kita berjanji akan memansuhkan yuran berkenaan, jika diberi kepercayaan (memerintah),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok di Pangkalan Petah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa yang terpaksa menanggung bayaran yang tinggi untuk anak mereka yang sedang belajar di sekolah agama.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata selain memansuhkan yuran itu, kerajaan BN juga berjanji untuk menaikkan taraf sekolah agama rakyat di negeri itu yang dalam keadaan kekurangan.

Beliau berkata ini termasuk gaji guru dan kakitangan yang kini agak rendah dan tidak diberi taraf pencen walaupun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Ramai di kalangan mereka telah mengadu kepadanya mengenainya dan saya sangat bersimpati dengan nasib mereka, katanya. – BERNAMA

Warga guru diminta terus beri sokongan – Utusan


Warga guru diminta terus beri sokongan

Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed bersama warga pendidik mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan di Kompleks YKK, Peringat, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri

 

KOTA BHARU 2 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lebih 500,000 warga pendidik di seluruh negara memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sokongan itu penting kerana pelbagai usaha telah dirancang oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat terutama umat Islam dapat dipertingkatkan.

Bagaimanapun, kata beliau, perancangan itu akan menjadi sia-sia jika kerajaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau tidak guru, siapa lagi kerana jumlah kita (guru) adalah sebanyak 500,000 orang dan inilah kekuatan utama kita. Saya tahu masing-masing mempunyai persepsi dan pegangan hidup dan sebagainya tetapi yang penting adalah soal memperkukuhkan masa depan negara.

“Lebih kukuh kedudukan kita, maka kita tidak diganggu-gugat kerana kalau kita tengok dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita telah memberi perhatian yang paling banyak dalam memajukan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 2,000 guru sempena Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.