Sekali seumur hidup – Metro


Sekali seumur hidup

 12  2 Google +0  1  0

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Ipoh: Biarpun tidak sampai tiga jam selepas menjalani pembedahan di perutnya, seorang pelajar, Nuranis Suhaili Abd Rahman, 12, tetap menguatkan semangatnya bagi menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di katil hospital, pagi semalam.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Rambai 7, Kuala Kangsar, itu terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) di sini, selepas didapati mengidap apendiks dan menjalani pembedahan segera sebelum dibenarkan keluar dari bilik pembedahan jam 4.30 pagi semalam.
“Selepas tiga jam dibedah, saya dibawa ke bilik khas disediakan pihak hospital untuk menduduki peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu Pemahaman pada jam 8 pagi dan kertas Bahasa Melayu Penulisan dan Matematik 2 pada jam berikutnya.

 

“Biarpun badan agak lemah ketika itu, saya kuatkan semangat demi masa depan saya dan keluarga. Memang susah nak jawab periksa di atas katil, namun saya berjaya menjawab hingga selesai,” katanya ketika ditemui di wad HRPB, petang semalam.
Menurut anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini, dia tidak pernah terfikir akan menjawab peperiksaan UPSR di wad hospital, namun pengalaman seperti ini hanya datang sekali seumur hidup.
Menurut Nuranis, walaupun agak terkilan kerana gagal melakukan persiapan akhir peperiksaan, dia bersyukur kerana masih berupaya menduduki peperiksaan itu.

 

“Saya tidak mahu terlalu mengharap, namun akan terus berdoa supaya mendapat keputusan cemerlang. Saya juga akan berusaha mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pegawai kastam bagi mengubah nasib keluarga,” katanya yang mendapat keputusan 3A 2B pada percubaan UPSR lalu.
Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Zainal Abdul Rahman berkata, pada awalnya, dia dan pihak sekolah agak bimbang apabila mendapat berita Nuranis akan menduduki pemeriksaan di hospital kerana dikhuatiri akan mengganggu prestasi pelajar terbabit.

 

“Namun, selepas melihat semangat ditonjolkan Nuranis, kebimbangan itu mula pudar. Dia antara calon memperoleh 5A berikutan prestasi cemerlangnya pada peperiksaan percubaan lalu.
“Saya yakin dia akan mendapat keputusan cemerlang selepas dilihat aktif menyertai pelbagai program dianjurkan pihak sekolah sebelum UPSR bermula,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Zainal, Nuranis dijangka menduduki peperiksaan UPSR untuk hari kedua bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik 1 dan Sains di HRPB esok (hari ini).
Pada masa sama, seramai 39,270 pelajar di Negeri Perak disahkan menduduki UPSR dengan sembilan darinya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11

UPSR: SK Tapu terbaik negeri – Sinar Harian


UPSR: SK Tapu terbaik negeri

RAHAYU MUSTAFA
20 November 2012
Zakaria menunjukkan buku analisis keputusan UPSR selepas selesai sidang media semalam.
Zakaria menunjukkan buku analisis keputusan UPSR selepas selesai sidang media semalam.

KUALA TERENGGANU – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas dengan penurunan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.07 mata.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin berkata, pada tahun lepas, pencapaian GPN keseluruhan calon UPSR Terengganu adalah 2.14 manakala pada tahun ini pula 2.21.

Menurutnya, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran juga didapati menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu 3,012 orang berbanding 3,548 orang pada tahun lepas.

“Walaupun pencapaian di Terengganu sedikit merosot, tapi kita masih lagi mengatasi pencapaian di peringkat nasional bagi tiga kriteria.

“Kriteria itu adalah GPN mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10, pencapaian minimum Gred C mengatasi nasional sebanyak 0.17 peratus dan calon cemerlang semua A juga atasi nasional sebanyak 4.28 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR, semalam.

Di sebalik kemerosotan itu juga kata Zakaria, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C iaitu tidak termasuk semua A bagi semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.45 peratus pada 2011 kepada 57.11 peratus pada tahun ini.

Malah katanya, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap minimum juga meningkat sebanyak 1.16 peratus iaitu 2.35 peratus pada tahun lalu kepada 3.51 peratus pada tahun ini.

Selain itu Zakaria berkata, Gred Purata Mata Pelajaran Negeri Terengganu juga berjaya mengatasi Gred Purata Mata Pelajaran Nasional bagi enam mata pelajaran.

Enam mata pelajaran tersebut adalah Bahasa Melayu Pemahaman (SK), Bahasa Melayu Penulisan (SK), Bahasa Melayu Pemahaman (SJKC), Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris (SJKC) dan Sains.

Pada sidang media sama, Zakaria turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu, Hulu Terengganu menjadi sekolah terbaik di negeri Terengganu berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.12 apabila 16 dari 20 calonnya mendapat 5A.

Ia diikuti SK Chalok, Setiu (1.23), SK Kemat, Hulu Terengganu (1.31), SK Teris, Hulu Terengganu (1.34), SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (1.37), SK Kampung Bari Sungai Tong, Setiu (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Rantau Petronas, Kemaman (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52).

“Walau prestasi sedikit merosot, kita tetap bersyukur dengan pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini. Kita akan teruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi pencapaian kita pada tahun hadapan,” katanya.

Seramai 23,196 murid merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta menduduki UPSR seluruh Terengganu pada tahun ini.

Syukur ibu bapa banyak ‘marah’ – Metro


Syukur ibu bapa banyak ‘marah’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: “Saya akui sebelum ini saya memang nakal, kurang menumpukan pelajaran sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan keputusan peperiksaan percubaan di sekolah juga tidak memuaskan.

“Namun, atas nasihat dan dorongan ibu bapa, saya berubah untuk berjaya kerana jika kita nakal pasti kita tidak akan berjaya dan akhirnya kini saya memperoleh keputusan luar jangkaan,” kata Muhammad Jacquim Irsyad Irwan, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1 yang mencapai keputusan cemerlang dalam keputusan UPSR yang diumumkan, semalam.
Muhammad Jacquim Irsyad mendapat 5A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

 

Katanya, sebelum menjawab soalan, dia memperbanyakkan doa demi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Saya bersyukur dan gembira mendapat keputusan cemerlang ini dan terima kasih buat ibu bapa saya yang banyak ‘marah’ saya.
“Marah mereka itu dijadikan azimat untuk mencapai keputusan cemerlang. Kejayaan ini akan diteruskan sehingga menara gading,” katanya.

 

 

Bapanya, Irwan Ibrahim berkata, pengurusan masa dan jadual pembelajaran harian anaknya sentiasa dipantau bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.
Katanya, setiap kali pemantauan pembelajaran anaknya dilakukan, dia menegur anaknya kerana mahu melihat Muhammad Jacquim Irsyad memperoleh keputusan cemerlang.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20