Sekali seumur hidup – Metro


Sekali seumur hidup

 12  2 Google +0  1  0

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Ipoh: Biarpun tidak sampai tiga jam selepas menjalani pembedahan di perutnya, seorang pelajar, Nuranis Suhaili Abd Rahman, 12, tetap menguatkan semangatnya bagi menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di katil hospital, pagi semalam.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Rambai 7, Kuala Kangsar, itu terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) di sini, selepas didapati mengidap apendiks dan menjalani pembedahan segera sebelum dibenarkan keluar dari bilik pembedahan jam 4.30 pagi semalam.
“Selepas tiga jam dibedah, saya dibawa ke bilik khas disediakan pihak hospital untuk menduduki peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu Pemahaman pada jam 8 pagi dan kertas Bahasa Melayu Penulisan dan Matematik 2 pada jam berikutnya.

 

“Biarpun badan agak lemah ketika itu, saya kuatkan semangat demi masa depan saya dan keluarga. Memang susah nak jawab periksa di atas katil, namun saya berjaya menjawab hingga selesai,” katanya ketika ditemui di wad HRPB, petang semalam.
Menurut anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini, dia tidak pernah terfikir akan menjawab peperiksaan UPSR di wad hospital, namun pengalaman seperti ini hanya datang sekali seumur hidup.
Menurut Nuranis, walaupun agak terkilan kerana gagal melakukan persiapan akhir peperiksaan, dia bersyukur kerana masih berupaya menduduki peperiksaan itu.

 

“Saya tidak mahu terlalu mengharap, namun akan terus berdoa supaya mendapat keputusan cemerlang. Saya juga akan berusaha mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pegawai kastam bagi mengubah nasib keluarga,” katanya yang mendapat keputusan 3A 2B pada percubaan UPSR lalu.
Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Zainal Abdul Rahman berkata, pada awalnya, dia dan pihak sekolah agak bimbang apabila mendapat berita Nuranis akan menduduki pemeriksaan di hospital kerana dikhuatiri akan mengganggu prestasi pelajar terbabit.

 

“Namun, selepas melihat semangat ditonjolkan Nuranis, kebimbangan itu mula pudar. Dia antara calon memperoleh 5A berikutan prestasi cemerlangnya pada peperiksaan percubaan lalu.
“Saya yakin dia akan mendapat keputusan cemerlang selepas dilihat aktif menyertai pelbagai program dianjurkan pihak sekolah sebelum UPSR bermula,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Zainal, Nuranis dijangka menduduki peperiksaan UPSR untuk hari kedua bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik 1 dan Sains di HRPB esok (hari ini).
Pada masa sama, seramai 39,270 pelajar di Negeri Perak disahkan menduduki UPSR dengan sembilan darinya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11

‘Baju sekolah penuh darah’ – Sinar Harian


‘Baju sekolah penuh darah’

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2013
'Baju sekolah penuh darah'
Manimaran dan laporan Sinar Harian semalam.

IPOH – “Rasa pilu ketika melihat anak tidak bernyawa dengan baju sekolahnya dipenuhi darah selain luka di leher dan kedua-dua tangannya. Tidak dapat bayang penderitaan yang dihadapinya,” demikian kata bapa mangsa bunuh, M Nathaniel, 14, yang di temui dalam semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

A Manimaran, 46, berkata, dia dimaklum oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan dia ditemui dengan banyak kesan luka. Siapa yang sanggup membunuh dia kerana setahu saya, dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia anak baik dan periang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Katanya, dia diberitahu oleh salah seorang rakan anaknya yang ternampak mangsa berbual dengan tiga lelaki tidak dikenali pada hari dia didapati hilang.

“Dia ingatkan rakan anak saya jadi dia terus pulang tanpa mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada sebarang pergaduhan atau jeritan ketika itu,” katanya  yang kali terakhir bertemu ketika keluar bekerja pada pagi hari kejadian.

Namun, Manimaran berkata, mangsa ada perselisihan faham dengan tiga lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal, Isnin minggu lalu.

“Hanya itu sahaja masalah yang dihadapinya sebelum kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan perselisihan faham itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mangsa akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan remaja malang berkenaan ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di beberapa bahagian di badan dan siasatan pihak polis dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa perkosa cair SMS manis – Metro


Mangsa perkosa cair SMS manis

 59  0 Google +0  0  0

Batu Gajah: Seorang buruh kasar menggunakan ayat-ayat manis dikirim yang melalui SMS untuk memperdaya seorang pelajar perempuan sebelum menculik dan memperkosanya.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, suspek menghantar SMS kononnya mahu menghantar mangsa ke sekolah di Tanjung Tualang, di sini, sebelum mengheret mangsa masuk ke dalam keretanya.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa yang berusia 16 tahun didakwa menerima SMS daripada suspek yang menawarkan diri untuk menghantarnya ke sekolah bersama seorang lagi rakan sekolah mangsa, tetapi apabila sampai di tempat dijanjikan, mangsa curiga apabila mendapati rakannya tiada.

 

“Mangsa yang menolak permintaan suspek ditarik masuk ke dalam kenderaan itu sebelum dibawa ke rumah suspek,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang dipaksa masuk ke dalam rumah dipujuk melakukan hubungan seks.
“Suspek mendesak dengan menarik tangan mangsa ke dalam bilik lalu menolak mangsa ke katil sebelum memaksa melakukan hubungan seks. Mangsa cuba melawan suspek namun gagal,” katanya.

 

Beliau berkata, suspek menghantar mangsa pulang ke rumah sebelum remaja terbabit menceritakan kejadian kepada teman lelakinya.
“Bimbang dengan kejadian itu, teman lelaki mangsa memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa sebelum membuat laporan polis,” katanya.

 

Shaharon berkata, pihaknya menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menjalani pemeriksaan doktor.
“Susulan itu, polis menjalankan siasatan sebelum memberkas suspek berusia 35 tahun. Suspek dikenal pasti bekerja sebagai buruh kasar dan menetap di Kampung Timah, Tanjung Tualang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/09

Bagai ‘orang api’ – Metro


Bagai ‘orang api’
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

IPOH: “Api marak begitu cepat hingga menyebabkan kulit kaki saya terasa seperti mencair. Saya bertukar menjadi ‘orang api’ sejurus seluar dan baju terbakar. Mujur ada yang membantu memadamkan kebakaran itu,” kata mangsa, Mohd Hishamudin Ali, 13, yang terbakar separuh tubuhnya akibat disimbah petrol oleh sekumpulan remaja.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, Shah Alam, mendakwa dibaling bungkusan berisi petrol oleh sekumpulan remaja nakal ketika pulang dari menunaikan solat Tarawih di kampungnya di Lumut, kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.
Dia yang ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam, berkata, kebakaran itu menyebabkan bahagian bawah tubuhnya dari kaki hingga perutnya terbakar hingga melepuh teruk.

“Ketika kejadian, saya pulang dengan berjalan kaki dari masjid selepas selesai melakukan solat Tarawih. Saya melihat beberapa remaja sedang bermain api tanpa mengesyaki ia adalah minyak yang mudah terbakar. “Bagaimanapun, saya terkejut apabila salah seorang remaja itu melemparkan bungkusan petrol itu ke arah saya sebelum api tiba-tiba menyambar seluar dan baju,” katanya.
Menurutnya, dia yang panik cuba memadamkan kebakaran itu sambil dibantu beberapa individu yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Nasib baik api itu dapat dipadamkan segera, namun bahagian kaki kiri saya melecur teruk dan saya hanya mampu merintih sakit. Rasa pedih dan panas akibat kebakaran itu menyebabkan saya terpaksa dikejarkan ke HRPB untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi mengambil daging pahanya untuk ditampal pada bahagian betis kaki kiri yang rosak teruk.
“Sebelum ini, saya dapat tahu mereka (remaja) sering bermain petrol secara suka-suka mungkin untuk meraikan bulan Syawal,” katanya.

Dia berkata, layanan baik pihak hospital menyebabkan dia lega dan yakin akan sembuh serta dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara itu, datuk mangsa, Azmi Din, 60-an berkata, dia menganggap tragedi itu berlaku tanpa disengajakan, malah remaja yang melakukan perkara itu sudah memohon maaf.
“Perkara sudah berlaku. Kalau boleh kami tidak mahu memperbesarkan isu ini.
“Remaja yang melakukan perkara itu juga sudah memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab. Malah, kami menganggap ia sebagai takdir.
“Bagaimanapun, kami mahu remaja yang melakukan musibah ini memandang serius kes ini supaya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya yang turut membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, sejurus kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan meminta semua pihak memandang serius kemalangan yang berlaku.
“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak bermain dengan bahan api kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau anak-anak mereka khususnya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 15/08/2012

Pelajar tidak diperkosa – Metro


Pelajar tidak diperkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: Polis mengesyaki lebih dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, Jumaat lalu dan bedah siasat mendapati pelajar berusia 16 tahun itu tidak dirogol.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering itu, Nurul Aien Mohd Saimon, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi ditemui lemas dengan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala akibat dipukul dengan objek keras.
Sehubungan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun awal pagi Sabtu lalu tidak jauh dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

 

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya mendapati pembunuhan itu dilakukan lebih daripada dua suspek.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat memburu beberapa lagi suspek selepas berjaya menahan suspek berusia 18 tahun itu awal pagi Sabtu lalu.
“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan.

 

 

“Selain itu, kami juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek berusia 18 tahun yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan dengan rumah mangsa,” katanya.
Katanya, mangsa tidak dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

 

Menurutnya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul pelajar itu sebelum dia dipukul dengan objek keras di kepala.
“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam ke dalam kolah selain kecederaan parah di kepala,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.
Mayat Nurul Aien ditemui adik lelakinya, Mohd Azrul Daniel Mohd Saimin, 10, dalam keadaan kepala berada di dalam kolah sebaik pulang dari rumah neneknya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien – Berita Harian


Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien

2012/02/27

TAIPING: Polis mengesyaki ada lebih dua suspek yang dikenali mangsa terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya, di sini petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata siasatan awal polis di tempat kejadian mengesyaki kematian Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui lemas dengan keadaan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala, tidak dilakukan suspek secara berseorangan.

Sehubungan itu, katanya, polis kini melakukan usaha memburu suspek lain yang dipercayai terbabit selepas menahan seorang suspek berusia 18 tahun awal pagi kelmarin dan kini direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. Polis juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, jam 4.30 petang Jumaat lalu.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Yusof berkata, polis juga menolak dakwaan mangsa dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, kelmarin.
Katanya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul mangsa, tetapi gagal apabila mangsa melawan sebelum dipukul dengan objek keras di kepala.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam di dalam kolah, selain kesan kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kanak-kanak maut dalam kemalangan di Ipoh – Bernama


Kanak-kanak maut dalam kemalangan di Ipoh

2012/02/14

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh selepas kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Chemor dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mangsa, R Valermarthy, berasal dari Kampung Benggali, Chemor, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku jam 12 tengah malam ketika kedua-duanya dalam perjalanan dari bandaraya ini menuju rumah bertembung dengan sebuah kereta lain, katanya ketika di hubungi, hari ini.

Azisman berkata, mangsa duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang ketika kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala bapanya dan pemandu kereta lain hanya cedera ringan. – BERNAMA