Baju kurung lepas rindu anak hilang – Metro


Baju kurung lepas rindu anak hilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Hanya sepasang baju kurung hijau menjadi pengubat rindu pasangan suami isteri dari Kampung Siti Manis, Kedai Buloh, Pengkalan Chepa, dekat sini, selepas anak perempuan mereka berusia 15 tahun hilang, dipercayai melarikan diri dari rumah pada 12 Ogos lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu disedari Che Muhamad Ibrahim, 48, dan isterinya, Hasmah Mamat, 45, selepas mendapati anak kedua mereka, Nurul Izzati Che Muhamad, 19, hilang dari tempat tidurnya ketika mereka mahu mengejutkannya bersahur.
Hasmah berkata, dia bagaikan tidak percaya kejadian itu menimpa keluarganya, lebih-lebih lagi anak perempuannya itu seorang yang baik, mendengar kata dan pendiam.

 

“Sebab itu, bila kejadian ini berlaku, jiwa saya bagaikan tersentap. Kali terakhir dia dilihat kira-kira jam 3 pagi ketika mahu membuang air kecil sebelum tidur semula di dalam biliknya, tetapi berlaku sebaliknya sejam kemudian.
“Ketika mahu mengejutkannya bersahur pada jam 4 pagi, saya dapati Nurul Izzati sudah tiada dalam biliknya, manakala pintu dapur rumah dilihat dalam keadaan tidak berkunci,” katanya hiba.
Menurut Hasmah, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anak gadisnya itu termasuk menghubungi rakan terdekat, namun hampa.

 

 

“Kejadian itu menyebabkan perasaan saya bercampur-baur. Saya bimbang keselamatannya kerana dia anak perempuan sulung, selain tidak pernah buat hal. Tidak tahu apa puncanya tiba-tiba dia menghilangkan diri dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.
“Bermula pada pagi itu, pelbagai usaha kami sekeluarga lakukan termasuk menjejakinya di rumah rakan terdekatnya di kampung serta rakan tempatnya bekerja di sebuah hotel di bandar ini, namun semuanya gagal,” katanya.

 

Hasmah berkata, selepas kejadian, dia dapat berhubung dengan anaknya sebanyak dua kali melalui panggilan telefon, namun hanya dapat bercakap seketika sebelum talian terputus.
“Kali pertama, Nurul Izzati memberitahu dia meminta saya supaya tidak runsing dan akan pulang segera. Kali kedua dia beritahu kami yang dia berada di stesen bas di Kota Bharu, sebelum talian terputus. “Kami sekeluarga segera mencarinya di stesen bas itu, namun hampa kerana tidak menemuinya. Saya tidak menolak kehilangannya mungkin disebabkan hasratnya mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pernah menyuarakannya dua bulan lalu,” katanya.
Menurut Hasmah, bimbang dengan keselamatan anaknya, dia membuat laporan di Balai Polis Badang, dekat sini, pada jam 8.32 pagi, 16 Ogos lalu.
“Bila terkenangkan dirinya, hanya sepasang kurung hijau yang ditempahnya sebelum hilang menjadi tatapan kami di pagi 1 Syawal lalu. Aidilfitri tahun ini tiada serinya.
“Sebagai ibu, saya merayu kepada orang ramai yang terlihat anak kami supaya dapat menghubungi suami di talian 019-9472001 atau maklumkan di balai polis berdekatan,” katanya.