Bakal guru akan diberi penekanan sistem PBS – Bernama


Bakal guru akan diberi penekanan sistem PBS

21 November 2012

KUALA LUMPUR – Penekanan kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam usaha melengkapkan graduan pendidikan adalah antara 10 resolusi yang dicapai pada konvensyen antarabangsa pembelajaran dan pembangunan guru di sini.

Pengarah Penyelidikan Pembangunan dan Inovasi Institut Pendidikan Guru (IPG) Dr Mohamad Nor Mohamad Taib berkata penjelasan menyeluruh dan tepat perlu diberi kepada bakal guru agar mereka lebih bersedia melaksanakan PBS.

“Apa yang akan kita tekankan dalam masa terdekat ini adalah untuk kita berikan penjelasan sebaik-baiknya, sejelas-jelasnya dari segi teknikaliti tentang apa itu PBS kepada bakal guru,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup konvensyen itu hari ini.

Selain itu, beliau berkata penekanan dan latihan PBS akan turut diberi kepada guru sedia ada kerana sebilangan besar mereka belum jelas berhubung konsep serta kaedah pelaksanaan PBS.

Resolusi lain yang diterima pada konvensyen disertai lebih 400 peserta dan penyelidik dalam dan luar negara itu ialah penekanan kepada pendidikan berkualiti untuk murid pendidikan khas, pemantapan amalan terbaik dalam pengajaran dan penstrukturan semula IPG.

Mengulas lanjut, Mohamad Nor berkata resolusi itu akan dicadang kepada Kementerian Pelajaran untuk dimasuk ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menyentuh pendidikan berkualiti untuk pendidikan khas, beliau berkata kurikulum bagi tujuan itu akan dirangka bagi memastikan sistem pembelajaran akademik dan teknik kemahiran mereka berkualiti tinggi.

Beliau berkata sehingga kini, kementerian pelajaran melatih guru khas yang mencukupi bagi memastikan murid pendidikan khas tidak ketinggalan dalam proses transformasi pendidikan di negara ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dalam ucapannya berkata terdapat keperluan mendesak bagi pengajar guru untuk kekal fokus berkaitan latihan berkualiti.

Beliau berkata apabila bakal guru dilatih dengan sempurna, mereka akan berupaya melakukan perubahan dalam kelas dan hidup pelajar di seluruh negara.

Teks ucapan beliau dibacakan rektor IPG Datuk Dr Haili Dolhan.

Abdul Ghafar juga berkata pendidikan untuk guru perlu dipakej semula bagi memenuhi keperluan generasi masa kini, dan sehubungan itu, sebarang pengukuhan perlu dilakukan berasas kepada hasil penyelidikan di lapangan dan data prestasi pelajar. – Bernama