Dua jam diazab bapa – Metro


Dua jam diazab bapa

 2  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila didera bapa kandungnya sendiri selama hampir dua jam dalam kejadian di rumah mereka di Sentul Utama, di sini, hanya kerana menghilangkan sebatang pensel warna.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kanak-kanak malang terbabit dilaporkan dirotan, dicekik, disepak sebelum dipijak di bahagian perut. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditumbuk sebelum kepalanya dibotakkan bapanya berusia 30-an itu.

Menurut sumber, akibat perbuatan keji si bapa, kanak-kanak terbabit bukan sekadar trauma sebaliknya mengalami kecederaan serius di tangan kiri, paha kanan dan kepala.

 

 

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, kejadian berkenaan dilaporkan di Balai Polis Sentul, di sini, semalam, oleh guru kaunseling sekolah kanak-kanak terbabit selepas mangsa menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelasnya.

“Mangsa yang datang ke sekolah dalam keadaan lebam di muka menceritakan kejadian itu kepada guru kelasnya sebelum kanak-kanak itu dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit mendakwa dipukul bapanya di ruang tamu rumah mereka di Sentul Utama, di sini.

 

“Suspek dilaporkan berang apabila anak perempuannya itu (mangsa) menghilangkan sebatang pensel warna dibelinya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit dilapor bukan sekadar merotan mangsa, sebaliknya mencekik, menyepak dan memijak perut anaknya itu.

 

“Lebih kejam, suspek turut menumbuk kepala berulang kali sebelum membotakkan kepala anak perempuannya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, kanak-kanak terbabit dilaporkan didera suspek hampir dua jam.

“Lelaki itu dilaporkan hanya berhenti mendera anaknya selepas melihat mangsa dalam keadaan lemah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03

Terpinga-pinga polis depan sekolah – Metro


Terpinga-pinga polis depan sekolah

 

 

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

 

AKSI 34 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh di George Town yang dipaksa menolak motosikal hingga ke balai polis semalam.

 

BALIK PULAU – Gara-gara menunggang motosikal tanpa lesen, seramai 34 pelajar terpaksa menolak kenderaan masing-masing sejauh satu kilometer (km) bermula dari depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di sini semalam.

Pelajar terdiri daripada penunggang dan pembonceng lelaki serta perempuan itu ditahan dalam Ops Lejang yang diadakan selama setengah jam bermula pukul 2.30 petang di depan sekolah itu.

Ketika itu, kesemua pelajar terbabit baru selesai sesi persekolahan pagi dan terpinga-pinga sebaik polis menyekat motosikal sekali gus mengarahkan mereka mengeluarkan lesen memandu.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan pelajar itu bukan sahaja tiada lesen malah tidak memakai topi keledar. Alasan menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak pakai topi keledar kerana jarak antara sekolah dan rumah terlalu dekat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md. Zin berkata, operasi tersebut diadakan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berhubung salah laku penunggang motosikal dalam kalangan pelajar di kawasan berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2afsoJTID
Hakcipta terpelihara

‘Kau belasah anak aku…’ – Metro


‘Kau belasah anak aku…’

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang ayah bertindak nekad ‘melarikan’ anaknya daripada jagaan bekas isteri dan suami baru selepas mendapat tahu kanak-kanak berusia enam tahun itu sering dijadikan tempat melepas geram hingga menyebabkannya trauma.

Difahamkan kanak-kanak itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di ibu kota sebagai penjaga sementara berikutan ayah kandung mangsa risau dengan keadaan anaknya itu yang sering kelihatan takut jika dihampiri.
Sumber polis berkata, selepas bercerai, ayah mangsa dibenarkan melawat anaknya itu pada setiap hujung minggu dan menyangka anak tunggalnya itu gembira kerana tinggal bersama ibu kandungnya.

 

“Bagaimanapun beberapa minggu lalu ketika melawat anaknya itu, dia ternampak muka kanak-kanak itu bengkak dan apabila dia menyoal kanak-kanak itu menyatakan dia terjatuh.
“Namun bapa mangsa rasa sangsi dengan kelakuan anaknya yang sering kelihatan takut dan selepas disoal beberapa kali, akhirnya kanak-kanak itu mengaku sering dibelasah ibu kandung serta bapa tirinya,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu juga sering menangis dan menyatakan tidak mahu tinggal bersama ibunya kerana tidak tahan didera dan akhirnya ayah mangsa mengambil tindakan nekad melarikan kanak-kanak itu daripada jagaan ibu kandungnya.

 

Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, kanak-kanak itu diserahkan kepada sebuah rumah kebajikan untuk penjagaan sementara berikutan ayah mangsa yang tidak berkahwin lagi tidak mampu menjaga kanak-kanak berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan – Metro


Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan

 15  4 Google +1  0  0

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa diliwat rakan dalam kejadian di sebuah rumah di Cheras, di sini, kelmarin.

Mangsa mendakwa diliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang juga tinggal di kawasan perumahan sama dalam kejadian jam 4.30 petang itu.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya diarahkan ibunya berusia 44 tahun untuk mengambil surat khabar di sebuah rumah di kawasan perumahan itu.

 

“Mangsa pulang ke rumahnya 30 minit kemudian dalam keadaan menangis. Ibu mangsa yang hairan dengan sikap anaknya itu bertanyakan apa yang berlaku.
“Wanita terbabit terkejut apabila anaknya mendakwa seorang kanak-kanak lelaki memasukkan kemaluan ke duburnya dengan cara paksa,” katanya.
Sumber berkata, wanita berkenaan dan suaminya bergegas ke rumah kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan penjelasan namun kehadiran mereka tidak dialu-alukan keluarga kanak-kanak itu.

 

“Mangsa kemudian dibawa ibu dan bapanya ke Balai Polis Cheras untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.
Katanya, kanak-kanak terbabit masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malah doktor juga sudah melakukan pemeriksaan terhadapnya.

 

Difahamkan, kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Samseng sekolah gagal rekrut ahli – Metro


Samseng sekolah gagal rekrut ahli

 4  2 Google +0  0  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bukan saja ditoreh dengan pisau di leher dan tangannya, malah seluarnya turut dilondehkan dua rakan sekolahnya angkara enggan menjadi ahli ‘geng’ kongsi gelap.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Damansara, di sini, diugut akan dicederakan selepas tindakannya melaporkan perkara itu kepada guru disiplin sekolah berkenaan.
Berikutan itu mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

 

Bapa mangsa berusia 40-an yang bimbang keselamatan anaknya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, ketika remaja lelaki terbabit berada di sekolahnya kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu, mangsa bertembung dengan dua rakan sekolahnya yang secara tiba-tiba menghalangnya.
“Dua remaja terbabit bertindak memaksa mangsa menyertai satu kumpulan dan menjadi ahli geng berkenaan. Mereka turut mendakwa mereka adalah ahli geng sama.

 

“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan kedua-dua mereka marah lalu mengeluarkan pisau dan meletakkan di leher mangsa,” katanya.
Sumber berkata, dua pelajar itu bukan saja menakutkan mangsa dengan menoreh leher mangsa, malah turut menoreh tangan kanan mangsa hingga meninggalkan kesan.

 

“Mangsa yang ketakutan melaporkan kejadian berkenaan kepada guru disiplin. Dua remaja itu kemudian dipanggil dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Dua kali kena raba – Metro


Dua kali kena raba

 11  1 Google +2  0  0

Shah Alam: Seorang pekerja pasar raya warga Bangladesh di Bukit Jelutong, dekat sini didapati mengambil kesempatan melakukan kemungkaran sebelum kehadiran Ramadan dengan cara pelik apabila meraba punggung seorang gadis yang juga pengunjung pasar raya berkenaan, kelmarin.

Tindakan itu dilakukan ketika mangsa berusia 17 tahun menemani ibunya membeli barangan sebagai persiapan menyambut puasa pada jam 6 petang.
Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa memilih barangan dan menyedari belakangnya digesel dengan tangan menyebabkan dia terkejut sebelum lelaki berkenaan beredar.

 

Tindakan ‘Bangla Miang’ itu menyebabkan mangsa kurang selesa kerana dia sering berada di belakang gadis berkenaan, tetapi beredar setiap kali mangsa memaling muka.
“Mangsa pada mulanya menyangka lelaki itu tidak sengaja menyebabkan dia tidak mengendahkannya. Bagaimanapun, ketika membuat bayaran di kaunter, mangsa sekali lagi berasa belakangnya disentuh,” katanya.
Akibatnya, mangsa sekali lagi menoleh ke belakang dan terkejut apabila mendapati lelaki sama di belakangnya beredar sejurus menyedari mangsa memaling muka ke arahnya.

 

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di belakang ibunya menyebabkan wanita berkenaan tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap anaknya itu.
Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Bukit Jelutong, jam 8.30 malam, kelmarin.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Bapa campak ke lantai – Metro


Bapa campak ke lantai

 12  0 Google +1  0  0

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rimas mendengar tangisan anak berusia tujuh tahun, seorang lelaki sanggup memukul sebelum melibas gergaji di badan anaknya itu supaya mangsa akan berhenti menangis di kediaman mereka di Batu 2 1/2 Cheras, di sini.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 43 tahun itu yang gagal mengawal kemarahannya bertindak lebih kejam apabila mencampak kanak-kanak lelaki terbabit ke lantai.
Isterinya yang terkejut dengan tindakan mangsa itu berlari mendapatkan anaknya yang meraung kesakitan sebaliknya suspek tidak mempedulikannya dan terus beredar.

 

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu, Selasa lalu untuk tindakan selanjutnya sebelum membawa anaknya itu ke klinik untuk menerima rawatan.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 tengah hari suspek yang sedang mandi terdengar tangisan anaknya di ruang tamu.
“Pada mulanya suspek mengarahkan isterinya menghentikan tangisan anak lelaki mereka namun selepas beberapa minit mangsa masih menangis, suspek yang selesai mandi terus keluar dan memarahi anaknya.

 

“Malah, dia bagaikan dirasuk setan bertindak memukul anaknya beberapa kali namun tindakannya itu menyebabkan mangsa yang kesakitan meraung kesakitan,” katanya.
Sumber berkata, lebih teruk, suspek kemudian mengambil gergaji dan terus melibas ke badan mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa menggelupur kesakitan.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Dua anak hilang lepas beli lampin – Metro


Dua anak hilang lepas beli lampin

 29  1 Google +0  1  1

Kuala Lumpur: Dua kanak-kanak berusia 10 dan lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar membeli lampin adik bongsunya di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ipoh, 13 Jun lalu.

Kehilangan Nordiana Shafiza Abdullah, 10 dan Muhammad Shafiz Denial Abdullah, 8, dikesan pada jam 2 petang selepas diminta bapanya untuk membeli lampin. Normaliza Mustafa, 33, ketika hadir ke Balai Berita Harian Metro, di sini, semalam, berkata, dia datang ke Kuala Lumpur untuk beberapa hari bersama suami dan lima anaknya atas urusan kerja suami. “Pada hari kejadian, saya berada di kawasan bandar dan meninggalkan anak-anak bersama suami di hotel. “Suami hanya dapat memberitahu saya mengenai kehilangan anak sembilan jam kemudian kerana saya tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya. Menurutnya, suami merancang untuk pulang ke Johor keesokan harinya sebelum kedua-dua anak mereka hilang.

“Saya tak (tidak) sangka Diana dan Shafiz menghilangkan diri kerana mereka (anak) diajar untuk tidak mempercayai orang asing dan terus pulang ke rumah selepas membeli barang di kedai,” katanya yang sudah melaporkan kehilangan kedua-dua anaknya di Balai Polis Jalan Ipoh. Sehubungan itu, Normaliza merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Diana dan Shafiz menghubungi polis atau pegawai penyiasat Inspektor Shahrul Nizam di talian 012-3002795.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang di Pekan – Bernama


Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang di Pekan

2013/05/30 – 14:36:23 PMCetakEmel Kawan

 
 
KUANTAN: Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar dari rumah masing-masing di Kampung Permatang Cengkeroh, di Pekan. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata pelajar terbabit, Abdul Razak Abdullah, 12 dan Aminuddin Ismail, 13, dipercayai bersahabat. 

 

“Menurut laporan yang dibuat keluarga mereka, kedua-dua pelajar terbabit meminta izin untuk keluar dari rumah. 

 

“Abdul Razak dipercayai keluar rumah kira-kira 9 pagi dengan memberi alasan hendak melihat orang menyembelih lembu manakala Aminuddin keluar pada 8 pagi dengan memaklumkan keluarga, beliau mahu ke bandar Rompin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kedua-dua keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Selasa lalu selepas mendapati pelajar terbabit tidak pulang. 

Katanya, sehingga kini, kedua-dua pelajar itu masih belum ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta melapor kepada pihak polis. – BERNAMA

Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah – Sinar Harian


Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013

 MELAKA – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak pulang ke rumah selepas keluar mengaji dua hari lalu terjawab apabila dia ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, lewat petang semalam.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Molek di sini, ditemui dalam keadaan terlentang di atas papan lapis berhampiran padang oleh sekumpulan remaja lelaki yang baru sahaja pulang dari bermain bola sepak kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, ibu bapa mangsa membuat laporan polis  di Balai Polis Tiang Dua kelmarin selepas anak mereka tidak pulang ke rumah Isnin lalu.

“ Pihak keluarga telahpun mengesahkan mangsa adalah anak mereka berdasarkan pakaian mangsa yang  sama sebelum keluar rumah,” katanya.