Terpinga-pinga polis depan sekolah – Metro


Terpinga-pinga polis depan sekolah

 

 

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

 

AKSI 34 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh di George Town yang dipaksa menolak motosikal hingga ke balai polis semalam.

 

BALIK PULAU – Gara-gara menunggang motosikal tanpa lesen, seramai 34 pelajar terpaksa menolak kenderaan masing-masing sejauh satu kilometer (km) bermula dari depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di sini semalam.

Pelajar terdiri daripada penunggang dan pembonceng lelaki serta perempuan itu ditahan dalam Ops Lejang yang diadakan selama setengah jam bermula pukul 2.30 petang di depan sekolah itu.

Ketika itu, kesemua pelajar terbabit baru selesai sesi persekolahan pagi dan terpinga-pinga sebaik polis menyekat motosikal sekali gus mengarahkan mereka mengeluarkan lesen memandu.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan pelajar itu bukan sahaja tiada lesen malah tidak memakai topi keledar. Alasan menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak pakai topi keledar kerana jarak antara sekolah dan rumah terlalu dekat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md. Zin berkata, operasi tersebut diadakan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berhubung salah laku penunggang motosikal dalam kalangan pelajar di kawasan berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2afsoJTID
Hakcipta terpelihara

BERKONGSI ilmu – Utusan


BERKONGSI ilmu

Adi Putera menyelesaikan masalah pengiraan matematik sambil diperhatikan oleh murid-murid terdiri daripada anak-anak polis di Balik Pulau, Pulau Pinang, kelmarin. – Utusan/ismail kamadin.

Pelajar pintar matematik, Adi Putra Abdul Ghani memberi motivasi kepada lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pondok Upeh yang terdiri daripada anak-anak polis yang bertugas di Barat Daya dalam program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di Balik Pulau, kelmarin.

Dalam program selama hampir dua jam itu, Adi Putra, 13, antara lain berkongsi tip dan formula Matematik bersama murid-murid sekolah yang teruja menyaksikan kepintarannya menyelesaikan masalah pengiraan.

Ketua Polisnya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, Adi Putra dipilih kerana kepintarannya dalam subjek berkenaan serta mendapat pengiktirafan pelbagai pihak sebelum ini dan beliau mahu anak-anak polis mendapat motivasi untuk menguasai subjek Matematik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121027/dn_19/BERKONGSI-ilmu#ixzz2AWFvIpBo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas

23 Jun 2012
TELUK BAHANG – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Jalan Teluk Bahang, di sini awal pagi ini.

Mohamad Firmanshah Iskandarshah, 13, yang menunggang motosikal itu bersama rakannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata kejadian berlaku 2.30 pagi dan mangsa dipercayai menunggang dengan laju ketika menuruni bukit di kawasan itu.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terbabas sebelum dia terhumban ke dalam longkang berhampiran tanah perkuburan Cina di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang berusia 14 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Balik Pulau. – Bernama

Remaja lemas selepas ditarik ombak – Bernama


Remaja lemas selepas ditarik ombak
2012/06/07

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat semasa berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini hari ini.

Semasa kejadian 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.
Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid, berkata pada ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.
“Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri membabitkan 105 remaja dari seluruh negara itu dijadual berakhir esok.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor.

Terdahulu, ombak kuat sehingga 3.5 meter dilaporkan melanda sekitar pantai Pulau Pinang berikutan perubahan angin monsun timur laut kepada angin barat daya. – BERNAMA