IPOH: Selepas melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan keluarga hampir seminggu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun akhirnya ditemui orang awam dan anggota Rukun Tetangga (RT) Bercham berhampiran sebuah restoran di Taman Bercham Baru, di sini, kelmarin.
Kanak-kanak dikenali sebagai Sean dari Anjung Bercham Utara itu dipercayai melarikan diri dari rumah kerana enggan dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak, The Salvation Army Ipoh Children’s Home di bandar raya ini.
Kehilangan Sean disedari ibunya, hanya dikenali sebagai Lee, 47, yang meminta bantuan RT Bercham mengesan anaknya selain membuat aduan di Balai Polis Bercham.
Lee berkata, setiap hari dia berusaha mencari anaknya yang hilang sejak 8 Oktober lalu dan bersyukur selepas bertemu semula anak lelakinya itu dalam keadaan sihat tanpa berlaku kejadian tidak diingini.
“Dia bukan seorang yang nakal, tetapi pergaulan bebas bersama rakan membuatkannya terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.
“Sebelum ini, dia seorang anak yang mendengar nasihat dan rajin, tetapi sejak berkawan dengan rakan baru, sikapnya berubah menjadi malas dan tidak menghormati keluarga,” katanya.
Menurutnya, walaupun berat hati menghantarnya ke pusat jagaan itu, tetapi kerana terpaksa selain memikirkan masa depannya membuatnya serba salah.
“Sekurang-kurangnya hidupnya akan terbela dan kami berharap dia mendapat kehidupan lebih baik di tempat itu. Walaupun berat hati melepaskannya, saya terpaksa menghantarnya ke pusat jagaan itu demi masa depannya,” katanya.
Katanya, dia terpaksa menjadi ketua keluarga dan menanggung mereka sekeluarga selepas suami, Eric Lee Siew Hong, 45, disahkan menghidap barah hidung sejak empat tahun lalu.
“Saya pernah bekerja sebagai kerani, tetapi selepas suami sakit, saya berhenti kerja di syarikat lama dan kini bekerja sebagai pelayan restoran dari jam 7 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari dengan gaji RM600 sebulan,” katanya.
“Selepas selesai bekerja, saya pulang ke rumah dan menjaga suami dan anak-anak,” katanya.
Sean ketika ditemui hanya memakai kemeja-T dan berseluar pendek paras lutut berkata, sepanjang meninggalkan rumah dia tidak pernah berfikir mengenai keluarganya dan menghabiskan masa melepak di pusat siber dengan bermain permainan komputer.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15