Kanak-Kanak Perempuan 14 Tahun Peroleh Status Warganegara Selepas Jalani Ujian DNA – mStar


Kanak-Kanak Perempuan 14 Tahun Peroleh Status Warganegara Selepas Jalani Ujian DNA

 

Yanesha

 

KUALA LUMPUR: Adalah saat-saat yang menggembirakan bagi N.Yanesha, kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, yang terpaksa menjalani ujian DNA untuk membuktikan bapa kandung beliau adalah seorang rakyat Malaysia dan beliau akhirnya mendapat kerakyatan Malaysia.

Peguam Yanesha, Annou Xavier memaklumkan perkara ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop pada Rabu.

Yanesha berkata beliau sangat gembira mendapat status kewarganegaraan Malaysia.

“Saya telah mengambil kad pengenalan (IC) di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya seminggu yang lalu,” kata Yanesha, yang bapanya dari Malaysia manakala ibunya dari Filipina.

Ibu saudaranya, S.Yogeswari berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar surat minggu lalu kepada bapa Yanesha, S.Nanthakumar memaklumkan bahawa permohonan IC beliau telah diluluskan dan beliau boleh mengambil IC di mana-mana pejabat JPN.

“Pada hari pertama, dia mendapat sijil kerakyatan Malaysia dan kemudian dia mendapat IC pada hari berikutnya,” katanya.

Yogeswari berkata ujian DNA yang telah dibayar Nanthakumar sebanyak RM1,500 bagi mendapatkan status kerakyatan Malaysia untuk anak perempuannya adalah berbaloi.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Xavier berkata Hakim Rosilah mengarahkan Peguam Persekutuan Haryati Ahmad untuk mendapatkan arahan bagi mendapatkan sijil kelahiran baru kanak-kanak itu, yang menyatakan statusnya sebagai “warganegara”.

“Dia kini mempunyai MyKad yang ditunggu selama lapan tahun,” katanya.

Peguam Nizam Bashir, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi NGO – Voice of Children, berkata Malaysia perlu mengkaji semula mengenai Konvensyen Hak Kanak-kanak 1951, Perkara 7 bahawa setiap kanak-kanak diberi hak warganegara kerana ia boleh menjejaskan hak-hak pendidikan mereka dalam sekolah kebangsaan.

Ibu bapanya telah berpisah dan gadis itu, yang dilahirkan di Bandar Sunway di Petaling Jaya pada 3 Mei, 1999, tinggal dengan emak saudaranya dan memegang sijil kelahiran yang menyatakan status “Bukan Warganegara”.

Yanesha, yang bapanya adalah warga Malaysia dan ibu Judith Guballo, dari Filipina memfailkan tuntutan sivil melalui Yogeswari.

Dia itu menamakan Ketua Pengarah JPN, Setiausaha Agung KDN dan kerajaan sebagai defendan.

Antara lain, Yanesha meminta perisytiharan warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan defendan mengeluarkan sijil kelahirannya, MyKad dan perintah bahawa JPN mendaftar dan mengemas kini namanya ke dalam daftar.

Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan – Bernama


Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan

13 Mac 2012

PEMAIN bukan pilihan dari Kuala Lumpur, Siti Nurzulaika Ismail mencipta kejutan apabila mengetepikan cabaran pemain pelapis negara untuk menjuarai acara individu wanita remaja pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-25, hari ini.

Pemain muda berusia 14 tahun itu memenangi pingat emas buat julung kali apabila mencatatkan 1,201 jatuhan pin pada kejohanan empat hari itu yang bermula di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, dekat sini, semalam.

Dua pemain pelapis negara, Puteri Nadia Kamarul Mahadir dari Negeri Sembilan dan Siti Aishajan Hussin dari Sabah masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan catatan 1,158 dan 1,138 jatuhan pin.

Siti Nurzulaika, ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian hadiah berkata, beliau begitu bangga dengan pencapaian tersebut kerana hanya menjadikan kejohanan itu sebagai medan latihan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua jurulatih saya iaitu Steven Teng dan Dzulkarnain Sapian kerana memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Seri Saujana, Sri Petaling itu.

Beliau yang bermain boling sejak berusia enam tahun lagi turut meletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian sama pada Sukma ke-15 di Pahang pada Julai ini.

Dalam kategori individu lelaki junior, pemain pelapis negara Mohd Haziq Sahli dari Johor muncul juara selepas mencatatkan 1,292 jatuhan pin.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik Mohd Syazwan Kamarudin dari Terengganu dengan catatan 1,238 jatuhan pin manakala pingat gangsa diraih oleh seorang lagi pemain pelapis lelaki kebangsaan dari Kuala Lumpur, Qalif Adnor Adam dengan catatan 1,222 jatuhan pin.

Juara bertahan Mohd Nazmi Mohd Mazli dari Pulau Pinang hanya mampu menduduki tangga ke-16 dengan 1,127 jatuhan pin. – Bernama