Bantah bina menara dekat sekolah – Sinar Harian


Bantah bina menara dekat sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2013

 

Bantah bina menara dekat sekolah
Khoo bersama ibu bapa mengadakan bantahan secara aman berhampiran menara pemancar telekomunikasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir, Ayer Keroh, semalam.

BATU BERENDAM – Pelajar lebih 100 buah sekolah di negeri ini didakwa berkemungkinan berhadapan masalah kesihatan jika cadangan membina menara pemancar telekomunikasi di dalam kawasan sekolah berkenaan dilaksanakan.

Sambil mempertikaikan kelulusan kerajaan negeri bagi pembinaan menara tersebut, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong mendakwa pembinaan menara pemancar telekomunikasi di sekolah seluruh negeri ini ada kesan kepada kesihatan.

Beliau difahamkan sebanyak 100 sekolah terlibat pembinaan menara berkenaan di bawah projek Kementerian Pendidikan bagi menjayakan program ‘Bistari Net’ dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi tempatan.

“Kami mendapat aduan daripada ibu bapa yang bimbang dengan adanya menara ini akan menjejaskan kesihatan anak-anak mereka sepanjang berada di sekolah.

“Apa yang kita lihat pembinaan menara ini turut tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu setiap binaan menara berketinggian kurang dari 45 meter serta haruslah dalam jarak 20 meter dari jalan terdekat,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan bantahan bersama kira-kira 15 ibu bapa berhampiran menara yang dibina di Sekolah Menengah Tun Mutahir, di sini, semalam.

Poay Tiong berkata, sehubungan itu, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Parlimen menerusi Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Apa yang kita lihat di sekolah ini, kedudukan menara begitu hampir dengan bilik darjah dan kita akan tanya pihak terlibat, mengapakah ia boleh diluluskan pembinaannya.

“Mereka akan bina sebanyak 100 menara seluruh negeri Melaka mengikut pihak berkuasa tempatan, di mana  daerah Alor Gajah akan mempunyai menara pemancar paling banyak,” katanya.