Remaja hilang ditemui – Berita Harian


Remaja hilang ditemui

2013/01/09 – 05:24:30 AMCetakEmel Kawan
Mersing: Seorang remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Tanjung, dekat sini sejak 31 Oktober tahun lalu, ditemui di Banting, Selangor dan bekerja di kedai sajian makanan.

Nur Azira Atiqah Ahmad Darus, dikatakan keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga untuk bekerja sebelum menghubungi keluarganya 2 Januari lalu dan pulang semula ke rumahnya.

Ibunya, Zaimah Muda, 35, bersyukur apabila anak sulung daripada empat beradik itu ditemui dengan selamat dan tidak menyangka dia keluar rumah semata-mata untuk bekerja.

Saya hanya menyedari Nur Azira hilang selepas dimaklumkan dia tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian. Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk BH yang melaporkan kehilangannya sehingga ditemui semula, katanya.

Sementara itu Nur Azira berkata, beliau bercadang untuk bekerja selepas tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tetapi tidak berani memberitahu keluarga sehingga mengambil keputusan keluar rumah tanpa pengetahuan mereka.