Bantu kanak-kanak jalanan – Sinar Harian


Bantu kanak-kanak jalanan

JOHOR BAHRU – Seorang remaja 13 tahun nyaris dijadikan pelacur oleh ibu kandungnya, jika tidak diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua tahun lalu.

Perbuatan terkutuk itu tergamak dilakukan seorang wanita bergelar ibu yang menghidap HIV positif, akibat desakan hidup.

Pengarah JKM Negeri, Khatijah Abdullah berkata, kanak- kanak perempuan yang mendapat pendidikan setakat darjah tiga itu, tinggal bersama ibunya di bilik sewa di sekitar bandar, antara kes yang berjaya diselamatkan JKM.

Mengikut rekod, seramai 23 kanak-kanak jalanan di sekitar Johor Bahru ini berjaya diselamatkan dalam tempoh dua tahun di mana 11 kes pada 2011, manakala 12 lagi pada 2010.

“Kesemua kanak-kanak lelaki dan perempuan itu berumur lima hingga 16 tahun.

“Kebanyakan mereka ini berpelesiran di tepi jalan, kompleks beli belah dan bergaul dengan penagih dadah disebabkan kematian penjaga, lari dari rumah dan diabaikan penjaga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khatijah berkata, masalah kanak-kanak jalanan di negeri ini perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan pelbagai masalah sosial.

Jelasnya, kanak-kanak ini perlu diselamatkan kerana jika dibiarkan, mereka akan terdedah eksploitasi dijadikan buruh, penyalahgunaan dadah, penderaan seksual, penjualan, perdagangan dan penculikan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk mengawasi anak-anak mereka, khususnya trend berbasikal di waktu malam membabitkan remaja yang bersekolah atau berusia 18 tahun ke bawah.

“Sepatutnya kanak-kanak ini berada di rumah namun jika didapati berkeliaran di waktu malam tanpa pengawasan, JKM mempunyai kuasa mengambil mereka.

“Ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang membiarkan anak tanpa pengawasan yang membawa hukuman denda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, sepanjang tahun lalu, JKM menerima 182 kes yang diberi perlindungan terhadap pelbagai kes membabitkan kanak-kanak yang dilindungi di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya, mereka ini telah ditempatkan di 61 pusat perlindungan JKM di seluruh negara termasuk enam di Johor.