Bantu suami noda anak
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
Ampang: Seorang wanita menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen semalam melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan bersubahat dengan suami baru yang merogol dan mencabul anak perempuannya berusia 15 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Chan Jit Li membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu.
Bagaimanapun, tertuduh yang mengaku tidak bersalah bagi tuduhan pertama iaitu bersubahat dengan suami yang merogol mangsa sama, dipanggil membela diri, semalam.
Bagi tuduhan pertama, wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah agama itu mengaku tidak bersalah bersubahat dengan suami barunya yang berusia 38 tahun untuk merogol anak kandungnya dengan menyuruh mangsa membuka pakaian dan menutup mulut tanpa kerelaan ketika dirogol.
Perbuatan itu dilakukan dalam bilik sebuah rumah antara jam 12 tengah malam dan 1 pagi, pada Mac 2011.