3 anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


3 anak terpaksa berhenti sekolah

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
22 Oktober 2012
3 anak terpaksa berhenti sekolah
Sungai di tepi rumah yang menjadi tempat mandi dan membasuh.

KERIAN – Kekangan wang menyebabkan sembilan beranak di Kampung Dew, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur hasil pemberian pengurusan kilang membakar kayu arang untuk sementara.

Tambah menyedihkan, tiga daripada tujuh anak keluarga itu tidak bersekolah demi memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk meneruskan persekolahan.

Mereka juga menggunakan air sungai di belakang rumah sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian.

Suri rumah, Rohana Ajid, 40, berkata, bekalan air bersih terpaksa diambil daripada paip utama pejabat kilang setelah mendapat keizinan dan ada kalanya mereka memasak air sungai untuk diminum jika bekalan air tiada.

Menurutnya, rumah yang didiami lebih dari 20 tahun itu adalah ihsan pengurusan kilang yang membenarkan mereka menumpang.

“Bekalan elektrik yang diperoleh juga hasil ihsan mereka yang membuat penyambungan ke rumah kami dan saya bersyukur pengurusan kilang prihatin terhadap kesusahan kami,” katanya Kepada Sinar Harian.

Menurut Rohani, suaminya, Goriaman Barikan, 40, merupakan warga asing yang mendapat kerakyatan tetap dan kini hanya bekerja sebagai pengutip kayu bakau dengan pendapatan RM400 sebulan.

Jelasnya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga.

“Anak sulung saya, Mohd Anaz Syazman 17, dan dua adiknya Norshahira, 15, dan Norsyazila, 14, tidak lagi bersekolah selepas  darjah enam disebabkan kekangan wang.

“Mereka terpaksa bekerja di kilang membakar kayu arang dan saya terharu tiga beradik ini sanggup mengorbankan zaman persekolahan untuk membiayai tiga lagi adik mereka, ” katanya.

Rohana berkata, keluarganya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka terutama kos persekolahan tiga anaknya.

“Selain itu, seorang anak yang masih bersekolah turut mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Bagaimanapun, saya merayu kepada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumah kami agar lebih selesa dan memberi peluang kepada dua anak saya kembali bersekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Gunong Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah yang bertandang ke rumah mereka.

Zainal Abidin menyerahkan sumbangan kepada Rohana dan memberi jaminan akan membawa masalah itu ke Mesyuarat Kumpulan Fokus peringkat daerah.

Katanya, beliau sudah mendapat kebenaran pengurusan kilang untuk membolehkan kerja membaik pulih rumah keluarga Rohana dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Mengenai bekalan air, kami akan cuba memohon dari Lembaga Air Perak (LAP) Kerian.

“Sebelum itu kami akan berbincang dan meminta kerjasama pengurus kilang itu kerana tanah dan rumah ini hak milik kilang sepenuhnya,” katanya.