Bantuan beri erti besar
Miri: Kira-kira 30 anak yatim yang tinggal di Rumah Amal Nur Murni di Batu Kawa gembira menerima pelbagai barangan keperluan dan makanan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro, kelmarin.
Bantuan berupa beg sekolah, buku, peralatan tulis selain beberapa keperluan harian lain seperti kipas siling, meja, almari pakaian, katil, tilam, makanan dan komputer sedikit sebanyak memberi harapan baru kepada mereka.
Penghuni Mohd Firdaus Abdul Rahim, 13, berkata bantuan diberikan sangat bererti kerana kemudahan seperti katil dan almari pakaian yang rosak diganti baru.
“Saya gembira dapat tidur atas katil dan tilam baru berbanding sebelum ini yang terpaksa tidur di atas lantai beralaskan tilam nipis.
“Bantuan diterima kali ini cukup bererti dan saya berterima kasih kepada pihak terbabit yang sudi membantu menyumbang pelbagai barang keperluan dan makanan kepada saya dan rakan di rumah amal ini,” katanya.
Firdaus yang tinggal di rumah amal berkenaan bersama kakaknya sejak setahun lalu berkata, rumah berkenaan menceriakan kehidupannya kerana setiap keperluan harian disediakan dengan sempurna.
“Keluarga saya dari golongan susah menyebabkan pelajaran saya sebelum ini terganggu, jadi apabila diterima masuk ke rumah amal ini, semua berubah dan saya dapat menumpukan perhatian dengan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.
Seorang lagi penghuni, Mariam Harris, 14, turut berkongsi perasaan sama apabila memberitahu sumbangan diterima menerusi program Titipan Kasih Harian Metro menceriakan lagi kehidupannya serta rakan penghuni lain. “Melihat sumbangan barang keperluan diterima menyebabkan saya terharu kerana masih ada masyarakat di luar sana prihatin mengenai kehidupan kami di rumah amal ini.
“Sebagai membalas jasa keprihatinan masyarakat di luar sana yang tidak putus-putus memberi bantuan kepada rumah amal ini, saya berjanji belajar bersungguh-sungguh sekali gus menjadi masyarakat berguna kepada agama, bangsa dan negara saya.” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25