Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta – Bernama


Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta

20 Jun 2013

KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan lebih RM45 juta untuk membantu sekolah Cina dan swasta di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga tahun lepas, kata Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata untuk 2009 sebanyak RM10 juta disalurkan, manakala pada 2010 (RM12,129,800), 2011 (RM11,129,830) dan 2012 sebanyak RM12,415,000.

“Kerajaan menyediakan peruntukan ini bagi meringankan beban kewangan sekolah-sekolah Cina dan swasta dan ia diberi sebagai subsidi dan bukan untuk menampung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan,” katanya menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Di samping itu kata Teo, bantuan kewangan yang diberi disalur terus kepada sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan lagi kecemerlangan kualiti pendidikan sekolah cina di Sabah.

Teo berkata walaupun bidang pendidikan tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga prihatin terhadap kebajikan semua lapisan rakyat di negeri itu termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, katanya Menteri Tugas-Tugas Khas diberi tanggungjawab untuk menangani hal ehwal masyarakat Cina terutama yang berkaitan hal-hal pendidikan.

“Bagi memastikan semua bentuk bantuan, baik dalam bentuk geran atau pemberian langsung daripada kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta di negeri ini dapat diselaraskan dengan baik dan berkesan, maka jawatan pengerusi jawatankuasa pemberian kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta diletakkan di bawah tanggungjawb Menteri Tugas-Tugas khas,” katanya. – Bernama

PROGRAM BURSARY PELAJAR CEMERLANG SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012


PROGRAM BURSARY PELAJAR CEMERLANG SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012

25 March 2013

Pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM Tahun 2012, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary (bantuan kewangan) secara automatik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.Bursary (bantuan kewangan) meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup sebanyak RM430 sebulan serta tempat/kursus bagi pelajar-pelajar cemerlang SPM mengikuti program-program persediaan di dalam negara yang disediakan oleh KPM. Pelajar cemerlang SPM boleh melayari Aplikasi Online Bursary Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2012 untuk mendaftar, membuat semakan dan mengemaskini maklumat pada 25 Mac 2013 (Isnin).

Sekian, terima kasih.

 

Sila Layari : http://apps.moe.gov.my/bursaryspm/

BN Sentiasa Beri Perhatian Kepada Keperluan Pelajar – Yahya – Bernama


BN Sentiasa Beri Perhatian Kepada Keperluan Pelajar – Yahya

KOTA KINABALU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian kepada keperluan pelajar khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam mendapat kemudahan pendidikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata segala bantuan yang diberi sejak mula mentadbir negara membuktikan kerajaan BN prihatin dan mengambil berat masalah rakyat.

“BN adalah kerajaan terbaik untuk rakyat. Malah, negara luar juga mengakui BN adalah kerajaan terbaik di negara ini. “Kita memberi pelbagai bantuan untuk kesenangan rakyat dari segi perkhidmatan dan juga bantuan kewangan, termasuk untuk pelajar-pelajar sekolah,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di SJK (C) Hwa Shiong di Putatan dekat sini, Jumaat. –BERNAMA

1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG – Bernama


1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG

13 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperluaskan lagi program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) melalui pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Dana PIBG, satu platform yang memberi bantuan kepada PIBG menjayakan aktiviti dan program di sekolah.

Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata dana tersebut bertujuan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan menjalankan aktiviti pendidikan, kokurikulum dan infrastruktur.

“Berdasarkan penyelidikan, kami dapati antara masalah utama dihadapi PIBG adalah bagi mendapatkan dana mencukupi untuk mempertingkat kemudahan sekolah serta menjalankan kelas tambahan kepada murid yang kurang berkemampuan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif terutama bagi sekolah di luar bandar.

“Justeru Dana PIBG ini dilancarkan bagi membantu meringankan beban PIBG dalam melaksanakan aktiviti pembangunan murid dan sekolah,” katanya semasa melancarkan dan menyerahkan Dana PIBG kepada 11 penerima perintis di sini.

Lodin Wok berkata sebagai permulaan dana ini diserahkan kepada PIBG sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan pembangunan Kuala Lumpur International Financial District (KLFID) yang merupakan projek strategik 1MDB.

Menurut beliau lagi dana ini juga boleh digunakan untuk tiga jenis pembiayaan termasuklah aktiviti berasaskan pendidikan seperti penganjuran kelas
tambahan, aktiviti kokurikulum seperti aktiviti sukan dan penambahbaikan infrastruktur berskala kecil seperti menaiktaraf makmal komputer.

Katanya permohonan Dana PIBG terbahagi kepada dua iaitu untuk sekolah menengah dengan peruntukan maksimum RM50,000 manakala sekolah rendah layak memohon peruntukan sehingga RM30,000.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Imbi, Law Seah Keong, 36, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya 1MDB yang meluluskan permohonan persatuannya.

“Peruntukan maksimum sebanyak RM30,000 yang diterima ini akan digunakan untuk menampung kerja penyelenggaraan sekolah yang semakin meningkat dan untuk menaik taraf kantin sekolah yang sudah uzur demi keselesaan murid.

“Pemberian dana ini juga sangat tepat pada masanya kerana kami mengalami defisit sejak tiga tahun lalu kerana penurunan jumlah murid dari lebih 1,000 ke sekitar 300 orang tetapi kos penyelenggaraan sekolah tetap tinggi,” katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (L) Jalan Pasar 2, Nordiana Mustafa Kamal pula pihaknya berasa sungguh gembira dan teruja apabila sekolah tersebut terpilih untuk menerima sumbangan dana PIBG ini.

“Walaupun sekolah kami baru dan pelajar hanya 33 orang sahaja namum kami akan menggunakan dana yang diberikan sebaik mungkin terutama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti membantu pelajar-pelajar miskin, kem-kem kecemerlangan pelajar, kelengkapan aktiviti kokurikulum dan sebagainya.” katanya.

Nordiana turut menggalakkan PIBG lain di seluruh negara supaya menghantar permohonan kepada 1MDB bagi mendapatkan sumbangan dana seterusnya memastikan kelangsungan aktiviti anjuran persatuan tersebut demi pembangunan pendidikan generasi akan datang.

PIBG sekolah yang berminat untuk memohon Dana PIBG 1MDB boleh berbuat demikian dengan melayari laman web http://www.danapibg.com.my- Bernama