Bantuan sekolah ringan beban ibu – Sinar Harian


Bantuan sekolah ringan beban ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2013
Bantuan sekolah ringan beban ibu
Noor Zahidi (kiri) menyampaikan sumbangan RM200 kepada anak Che Jah, Mohd Nazim Said, 16.

TUMPAT – “Nasib anak yatim terus terbela apabila dua anak saya yang bersekolah menerima bantuan anak yatim RM200 setiap orang,” kata Che Jah Safie, ibu tunggal tujuh anak.

Che Jah berkata, sebelum ini anaknya layak menerima bantuan awal persekolahan RM100 setiap orang, dan satu lagi bantuan diterima di bawah bantuan anak yatim yang bersekolah.

“Ia meringankan beban saya yang tidak bekerja untuk menyara dua anak yang masih bersekolah di tingkatan empat dan darjah lima,” katanya.

Menurutnya, sejak kematian suami empat tahun lalu, dia ditanggung anak-anak yang sudah bekerja.

“Mujurlah bantuan itu berterusan apabila saya juga layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bantuan Baucar Karisma@Hati Rakyat bernilai RM200 baru-baru ini,” katanya.

Che Jah berkata, memandangkan yuran persekolahan sudah dibayar dan pakaian sekolah anak telah dibeli, wang diterima anaknya akan diguna untuk belanja harian sekolah.

“Saya akan gunakan wang itu untuk duit saku anak-anak dan tambang persekolahannya, sekurang-kurangnya bulan ini saya tidak perlu mengeluarkan belanja untuk mereka,” katanya.

Bantuan disampaikan penyandang Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan Mukim Bendang Pak Yong, Ismail Awang Senik.

Noor Zahidi berkata, seramai 219 pelajar anak yatim bersekolah di Dun Pengkalan Kubor layak menerima bantuan tersebut.