Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulan – Sinar Harian


Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulan

NORSHIKIN MOHD SALLEH
24 Oktober 2012
Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulan
Norrizam Sapuan dibawa keluar dari kawasan mahkamah.

JOHOR BAHRU –  Rayuan seorang bapa yang memukul anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atas alasan mahu mendidik tidak mampu melepaskan dirinya daripada dikenakan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias dalam keputusannya berkata, alasan mendidik sehingga mencederakan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu melampaui batasan.

Norrizam Sapuan, 40, mengaku bersalah atas dakwaan menganiaya Nazirul Mubim Norrizam, 9, di rumahnya di 0301, Blok G, Flat Pekaka, Jalan Pekaka 3, Taman Perling, di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Nazirul Mubim merupakan anak kandung tertuduh dikatakan dipukul dengan menggunakan tali pinggang yang dipakai Norrizam kerana tidak melayan adiknya berusia lima tahun.

Perkara tersebut disedari guru sekolah Nazirul Mubim apabila mangsa menangis lalu menceritakan insiden yang berlaku.

Mohd Azlan menetapkan hukuman terhadap Norrizam bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Oktober lepas.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.