Bapa maut, anak cedera nahas – Sinar Harian


Bapa maut, anak cedera nahas
NORFARAHAH OTHMAN
15 Januari 2014
  • Bapa maut, anak cedera nahasOrang ramai melihat pasukan paramedik membawa seorang mangsa ke hospital. Gambar kecil: Mohd Nor Manap.
< 1 / 1 >

BENTONG – Hasrat seorang anak untuk menghantar ayah ke hospital untuk menerima rawatan sesak nafas tidak kesampaian apabila mereka sekeluarga kemalangan di Kilometer 12 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Nor Manap, 66, meninggal dunia selepas kereta jenis  Proton Saga dinaiki bersama tiga yang lain bertembung dengan lori jenis Hicom.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan duduk di bahagian penumpang hadapan manakala anak lelakinya, 22, memandu kenderaan.

Menurutnya, turut berada dalam kenderaan itu ialah menantu perempuannya berusia 18 tahun dan anak perempuan mangsa berusia 15 tahun dalam perjalanan dari arah Gombak ke Bentong.

“Siasatan awal mendapati lori dari arah Bentong ke Gombak yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu bertembung dengan kereta mangsa ketika tiba di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, kenderaan dinaiki empat sekeluarga itu remuk di bahagian depan namun kesemua mereka berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala manakala tiga yang lain cedera ringan.

“Siasatan juga mendapati keadaan jalan lurus dua hala tidak sibuk dan cuaca terang ketika kejadian berlaku,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa maut, anak melecur – Metro


Bapa maut, anak melecur

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya melecur 70 peratus selepas rumah teres dua tingkat dihuni mereka di Jalan Perdana 10, Pandan Perdana, di sini, terbakar, semalam.

Bagaimanapun, punca kematian Ng Chee Wei @ Peter, 52, dalam kejadian jam 5.40 petang itu mengundang persoalan apabila mayat mangsa ditemui terbaring dengan kesan kelar di tangan kanan di bilik tidurnya di tingkat atas.

Anaknya pula, Ng Qi Jang, 17, melecur 70 peratus dan kini menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Zon Bomba Hulu Langat Hamdan Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 15 anggota.

“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian api yang terbakar di tingkat bawah dipadam jiran mangsa.

“Selepas ke tingkat atas, kami menemui dua beranak itu.

Mangsa lelaki terbabit gagal diselamatkan sementara anak perempuannya yang berada di sebelah melecur 70 peratus dan dalam keadaan separa sedar,” katanya kepada pemberita, semalam.

Hamdan berkata, kebakaran hanya berlaku di tingkat bawah dan tidak merebak ke tingkat atas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar.

FotoRUANG tingkat bawah hangus terbakar.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Bapa maut, anak cedera parah, kenderaan dinaiki terlibat kemalangan – Utusan


Bapa maut, anak cedera parah, kenderaan dinaiki terlibat kemalangan

SEREMBAN 17 Okt. – Seorang bapa maut manakala anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Seri Sendayan berhampiran Taman Sendayan Indah, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Kamal Saleh, 48 meninggal dunia di tempat kejadian sementara anaknya, Mohd. Shahril Ashraf, 13, mengalami kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.- Utusan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121017/je_06/Bapa-maut-anak-cedera-parah-kenderaan-dinaiki-terlibat-kemalangan#ixzz29cntOWiA
© Utusan Melayu (M) Bhd