Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh – Bernama


Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh

27 Februari 2013

BESUT – Tiga lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan pisau rambo melarikan wang tunai dan barangan kemas daripada seorang guru wanita dan neneknya di sebuah kedai barangan elektrik di Jerteh, di sini semalam.

Ketika kejadian pada pukul 6.20 petang itu, dua wanita berkenaan berada di kedai milik keluarga mereka apabila tiga lelaki memasuki kedai itu dan berpura-pura ingin membeli barangan elektrik.

Seorang daripada lelaki itu mengeluarkan pisau rambo dan meletakkan di leher guru wanita berkenaan dan mengarahkannya menyerahkan wang dan barangan kemas, kata sumber polis.

Beliau berkata, wanita itu menyerahkan wang hasil jualan sebanyak RM1,000 dan lelaki yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu meragut rantai leher dan gelang tangan emas yang dipakai guru wanita itu serta sebentuk cincin emas daripada nenek wanita itu.

“Ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan kereta Proton Iswara Aeroback tanpa nombor pendaftaran ke arah Kuala Terengganu. Mangsa dilapor mengalami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.- Bernama

Ponteng sekolah serah ‘mahkota diri’ – Metro


Ponteng sekolah serah ‘mahkota diri’
IPOH: Terpedaya janji manis dan ‘mabuk’ dengan pemberian hadiah barangan kemas menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun nekad ponteng sekolah beberapa hari semata-mata mahu bertemu teman lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial, sebelum dia dirogol lelaki berkenaan.

Nasib malang pelajar tingkatan satu itu bermula sebaik dia mengenali seorang remaja berusia 16 tahun menerusi laman sosial facebook bermula akhir tahun lalu, sebelum membuat keputusan bertemu buat kali pertama pada 25 Mei lalu.
Bermula dengan pertemuan itu, mangsa sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu bertemu dengan teman lelakinya itu selain sanggup bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada 25 Mei lalu itu, keluarga mangsa membuat laporan polis selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa.
Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menyembunyikan diri. Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata, dia menghubungi guru disiplin di sekolah adiknya itu sebelum dimaklumkan adiknya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.
Beliau berkata, dia sekeluarga mencari adiknya di merata tempat termasuk bertanyakan kepada rakan sekolah, namun gagal.

“Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan adik saya ada bersamanya.
“Ketika ditemui, adik saya mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN), di sini semalam.

Katanya, dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.
Lee berkata, adiknya turut mengakui pernah menerima pelbagai barangan kemas termasuk rantai dan cincin emas yang dihadiahkan remaja lelaki itu.
“Saya percaya lelaki berkenaan memperdaya adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum merogolnya.
“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki berkenaan termasuk ahli keluarga remaja itu yang bertindak menyembunyikan adik saya selama dua hari di rumah mereka pada akhir Mei lalu,” katanya.
Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca dari perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.
Beliau berkata, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol dan kebanyakan mangsa berusia antara 13 hingga 20 tahun.
“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.