Bas rombongan sekolah terbabas – Metro


Bas rombongan sekolah terbabas

Seremban: Seramai 19 murid, waris dan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Serkam, Merlimau, Melaka yang dalam perjalanan pulang selepas mengikuti rombongan ke Langkawi, Kedah cedera sejurus bas dinaiki mereka terbabas dan terbalik di susur masuk Lebuhraya Utara – Selatan menghala ke Seremban, Nilai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Lebuhraya Utara – Selatan Hubungan Tengah (Elite) menuju ke Melaka sebelum hilang kawalan.

Katanya, seramai 40 individu yang mengikuti rombongan itu melalui detik mencemaskan apabila bas terbabit dikatakan tergelincir sebelum berpusing tiga kali dan terbalik.

Akibatnya, 18 murid dan guru sekolah itu mengalami kecederaan, manakala seorang wanita berusia 33 tahun yang mengikuti rombongan bersama anaknya retak tulang belakang berserta kecederaan lain.

FotoKEADAAN bas yang terbalik di lebuh raya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai apabila pemandu bas keliru berikutan lokasi kejadian mempunyai dua susur iaitu ke Kuala Lumpur dan Seremban.
“Tambahan pula jalan yang dilalui licin kerana hujan malam tadi (semalam),” katanya pemandu lingkungan 40-an itu yang bertindak menekan brek kecemasan menyebabkan bas berpusing, terbabas dan terbalik.

Mohd Yusoff berkata, sebuah lori yang membawa muatan sayur yang berada di belakang bas terbabit turut terbalik apabila cuba mengelak daripada melanggar kenderaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/12