Kecewa anak diarah tukar sekolah – Kosmo


Kecewa anak diarah tukar sekolah

 

Oleh RIZAM ZAKARIYA
rizam.zakariya@kosmo.com.my

 

SHAHRUL ASMAWI (kanan) menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Nur Emilia di Kepala Batas semalam.

 

KEPALA BATAS – Seorang bapa kecewa anaknya yang berusia 12 tahun bukan sahaja dirotan oleh seorang guru malah diarah keluar dari kelas dan bertukar sekolah lain gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah.

Shahrul Asmawi Rashid, 35, mendakwa, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya, Nur Emilia sedang mengikuti mata pelajaran muzik yang diajar guru berkenaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Binjai di sini pada pukul 8.30 pagi Jumaat lalu.

Katanya, guru perempuan tersebut yang juga mengajar mata pelajaran Sains telah bertanyakan tentang kerja sekolah bagi mata pelajaran Sains yang diberikan beberapa hari sebelum itu.

Jelasnya, disebabkan anaknya bersama empat lagi rakannya gagal menyiapkan tugasan tersebut, guru berkenaan didakwa telah bertindak merotan mereka sebelum menyuruh empat rakan anaknya duduk.

“Selepas itu, guru berkenaan didakwa terus memarahi anak saya dan bertindak menarik tudungnya hingga tercabut selain menolak anak saya dan melempar buku ke lantai sebelum mengarahkan anak saya balik ke rumah.

“Disebabkan rasa malu, anak saya terus keluar dari kelas dan menunggu di tempat letak basikal sebelum didatangi seorang rakan kelasnya yang memberitahu guru berkenaan telah mengarahkan anak saya bertukar ke sekolah lain,” katanya.

Menurut Shahrul Asmawi lagi, kira-kira pukul 9.30 pagi pada hari yang sama, dia menerima panggilan telefon daripada guru tersebut yang bertanyakan sama ada anaknya sudah sampai di rumah atau belum.

Katanya, dia yang terkejut dengan perkara itu kemudiannya terus bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan sekolah sebelum menemui anaknya di tepi jalan di belakang sekolah tersebut.

“Bila sampai di rumah, anak saya terus menangis dan menceritakan kejadian yang berlaku di sekolah sebelum memberitahu, dia kini berasa malu untuk ke sekolah lagi.

“Saya tak kisah kalau guru berkenaan pukul anak saya kerana tak siapkan kerja sekolah tetapi dia (guru berkenaan) tiada hak untuk halau anak saya keluar daripada sekolah ataupun arahkan anak saya pindah sekolah,” jelasnya.

Disebabkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan, dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, guru terbabit tidak boleh mengarahkan murid tersebut keluar dan bertukar sekolah dengan sewenang-wenangnya serta pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Ks4owuFx
Hakcipta terpelihara

Murid parah dirempuh motosikal – Sinar Harian


Murid parah dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
 Najwa
Keadaan basikal mangsa yang rosak teruk selepas dirempuh sebuah motosikal di landasan kuning berdekatan persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar.

BALAI BESAR – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berbasikal ketika pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia dilanggar sebuah motosikal sewaktu ingin melintas jalan, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Najwa Najira Marisha, 11, yang menunggang basikal dirempuh sebuah motosikal ketika hendak melintas jalan di jalan Gong Pasir-Alor Tempoyak.

Akibat dilanggar motosikal yang datang dari arah Gong Pasir itu, Najwa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar itu cedera parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Sehingga jam 2 petang semalam, Najwa yang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun difahamkan tidak sedarkan diri.

Penunggang motosikal terbabit yang belum disahkan identitinya juga cedera.

Kes kemalangan itu masih disiasat polis.

Tali pinggang ‘makan’ anak tiri – Metro


Tali pinggang ‘makan’ anak tiri

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Hanya kerana bermain basikal di dalam rumah dan merosakkan basikal adiknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun teruk dibelasah bapa tirinya di rumah mereka di Puchong Utama, di sini, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari guru mangsa yang mendapati kanak-kanak itu bengkak di kepala, pendarahan dalam mata serta luka di kiri dan kanan lengannya akibat dibelasah dengan tali pinggang ketika datang ke sekolah, jam 9 pagi, keesokan harinya. Menurut sumber, mangsa bermain basikal di dalam rumah sebelum dimarahi bapa tirinya. “Tidak puas hati dimarahi, mangsa memberontak dengan merosakkan basikal adiknya sebelum dikejar bapa tirinya yang kemudian membelasah kanak-kanak terbabit dengan tali pinggang.
“Mangsa bengkak di kepala serta pendarahan di dalam matanya. Kedua-dua lengan serta belakang badan mangsa turut cedera akibat dilibas dengan tali pinggang,” katanya.

 

Sehubungan itu, guru mangsa yang berusia 31 tahun membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan guru terbabit dan berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berkenaan kali pertama berlaku.
“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Cedera diserang Rottweiler – Metro


Cedera diserang Rottweiler

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CEDERA...ibu mangsa, Radziah Mohd Adas menunjukkan kesan gigitan Rottweiler (gambar kecil) di belakang  Dhiya.
CEDERA…ibu mangsa, Radziah Mohd Adas menunjukkan kesan gigitan Rottweiler (gambar kecil) di belakang Dhiya.

BUKIT MERTAJAM: “Sambil menahan sakit, saya tidak tahu bagaimana hendak melawan anjing itu,” kata Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, yang cedera diserang anjing jantan ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya di Bandar Perda, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa menunggang basikal untuk ke rumah rakannya tanpa menyedari seekor anjing hampir dua kali ganda saiz badannya memerhatikannya.

Anjing berkenaan yang dipercayai Rottweiler tiba-tiba menerkam dan menggigit belakang mangsa menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda itu menjerit kesakitan.

“Saya berasa sakit sangat di belakang namun tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit kerana anjing itu sangat besar,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ, di sini, semalam.

 
Kebetulan jeritan mangsa didengari bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latif, 47, yang sedang membaiki kereta sebelum bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

Saya tiada basikal – Metro


Saya tiada basikal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Saya tidak ada basikal,” demikian alasan diberikan seorang remaja ketika dia bersama tiga rakannya dicekup selepas cuba melarikan sebuah basikal di rumah di Bandar Uda Utama, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, remaja berusia 13 hingga 16 itu melompat pagar untuk masuk ke kawasan rumah dan melarikan basikal ketika pemilik rumah nyenyak tidur.
Bagaimanapun, tindakan remaja terbabit mencampak basikal hingga menghasilkan bunyi kuat mengundang curiga pemilik rumah serta jirannya lalu bangun sebelum menangkap remaja itu.

 

Malah, cubaan remaja terbabit melarikan diri melalui lorong belakang berhampiran rumah mangsa serta berlagak seperti tiada apa berlaku gagal memperdaya jiran dan pemilik rumah.
Ketika ditahan, suspek yang juga pelajar sekolah menengah termasuk dua adik beradik itu mengaku sering keluar merayau pada waktu malam tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Seorang daripada remaja itu yang juga anak yatim mendakwa terdesak memiliki basikal kerana tidak mampu membelinya berikutan ibunya tidak bekerja dan bergantung dengan wang pencen arwah ayahnya.

 

 

Difahamkan, ada di antara remaja terbabit pernah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes curi minyak enjin motosikal dan beberapa kes jenayah lain. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mencari punca sebenar bagaimana remaja terbabit bagi mengelak perkara sama berulang.