Kes bunuh pelajar disebut semula – Sinar Harian


Kes bunuh pelajar disebut semula

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : March 16, 2012
Kes bunuh pelajar disebut semula

TAIPING – Kes bunuh pelajar perempuan di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering disebut semula 30 Mei ini.

Majistret Solehah Noratikah Ismail menetapkan tarikh itu sementara menunggu keizinan Timbalan Pendakwa raya untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dibuat Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Chan Yew Hiok.

Pada 25 Februari lalu, Nurul Aien Mohd Saimon, 16, ditemui maut akibat cedera di bahagian belakang kepala dipercayai dibunuh di bilik air rumahnya.

Tertuduh yang masih di bawah umur melakukan kesalahan membunuh antara jam tiga hingga empat petang di rumah mangsa.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelajar tidak diperkosa – Metro


Pelajar tidak diperkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: Polis mengesyaki lebih dua suspek terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, Jumaat lalu dan bedah siasat mendapati pelajar berusia 16 tahun itu tidak dirogol.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering itu, Nurul Aien Mohd Saimon, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi ditemui lemas dengan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala akibat dipukul dengan objek keras.
Sehubungan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun awal pagi Sabtu lalu tidak jauh dari lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

 

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya mendapati pembunuhan itu dilakukan lebih daripada dua suspek.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat memburu beberapa lagi suspek selepas berjaya menahan suspek berusia 18 tahun itu awal pagi Sabtu lalu.
“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan.

 

 

“Selain itu, kami juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek berusia 18 tahun yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan dengan rumah mangsa,” katanya.
Katanya, mangsa tidak dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

 

Menurutnya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul pelajar itu sebelum dia dipukul dengan objek keras di kepala.
“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam ke dalam kolah selain kecederaan parah di kepala,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.
Mayat Nurul Aien ditemui adik lelakinya, Mohd Azrul Daniel Mohd Saimin, 10, dalam keadaan kepala berada di dalam kolah sebaik pulang dari rumah neneknya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Nurul Aien tidak dirogol – Utusan


Nurul Aien tidak dirogol

 

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

 

IPOH 26 Feb. – Polis hari ini mengesahkan kematian seorang pelajar perempuan yang ditemui dalam kolah di bilik air rumahnya di Changkat Jering dekat sini Jumaat lalu, tidak melibatkan serangan seksual.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat Nurul Aien Mohd. Saimon mendapati mangsa maut akibat lemas.

Menurut beliau, hasil bedah siasat itu juga mendapati, kecederaan belakang kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Berdasarkan laporan ini, polis percaya mangsa tidak dirogol dalam kejadian tersebut, sebaliknya mangsa mati akibat lemas di dalam kolah.

“Kita percaya semasa kejadian, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga mangsa ditekan atau dicampak ke dalam kolah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Nurul Aien, 16, ditemui mati dalam kolah di rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad Rasdi, dekat sini bersendirian di rumahnya.

Yusuf berkata, ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun yang direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Berdasarkan maklumat awal, kata beliau, polis tidak menolak kemungkinan suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kemungkinan suspek dan mangsa mempunyai hubungan,” jelasnya.

Menurut Yusuf, sehingga kini pihaknya masih belum menjumpai senjata yang digunakan untuk memukul mangsa dalam kejadian tersebut.

Dibenam dalam kolah – Metro


Dibenam dalam kolah

Laporan dan foto YAHYA AWANG
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERKEJUT... Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.
TERKEJUT… Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.

TAIPING: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut, dipercayai dirogol sebelum kepalanya dibenam di dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, petang kelmarin.

Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi (SMKDWAR) itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.

Dalam kejadian jam 4.30 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, mangsa dikenali sebagai Nurul Aien Mohd Saimon ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

 
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 4.30 petang.