Bantah bina menara dekat sekolah – Sinar Harian


Bantah bina menara dekat sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2013

 

Bantah bina menara dekat sekolah
Khoo bersama ibu bapa mengadakan bantahan secara aman berhampiran menara pemancar telekomunikasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir, Ayer Keroh, semalam.

BATU BERENDAM – Pelajar lebih 100 buah sekolah di negeri ini didakwa berkemungkinan berhadapan masalah kesihatan jika cadangan membina menara pemancar telekomunikasi di dalam kawasan sekolah berkenaan dilaksanakan.

Sambil mempertikaikan kelulusan kerajaan negeri bagi pembinaan menara tersebut, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong mendakwa pembinaan menara pemancar telekomunikasi di sekolah seluruh negeri ini ada kesan kepada kesihatan.

Beliau difahamkan sebanyak 100 sekolah terlibat pembinaan menara berkenaan di bawah projek Kementerian Pendidikan bagi menjayakan program ‘Bistari Net’ dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi tempatan.

“Kami mendapat aduan daripada ibu bapa yang bimbang dengan adanya menara ini akan menjejaskan kesihatan anak-anak mereka sepanjang berada di sekolah.

“Apa yang kita lihat pembinaan menara ini turut tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu setiap binaan menara berketinggian kurang dari 45 meter serta haruslah dalam jarak 20 meter dari jalan terdekat,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan bantahan bersama kira-kira 15 ibu bapa berhampiran menara yang dibina di Sekolah Menengah Tun Mutahir, di sini, semalam.

Poay Tiong berkata, sehubungan itu, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Parlimen menerusi Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Apa yang kita lihat di sekolah ini, kedudukan menara begitu hampir dengan bilik darjah dan kita akan tanya pihak terlibat, mengapakah ia boleh diluluskan pembinaannya.

“Mereka akan bina sebanyak 100 menara seluruh negeri Melaka mengikut pihak berkuasa tempatan, di mana  daerah Alor Gajah akan mempunyai menara pemancar paling banyak,” katanya.

Didakwa rogol: Bekas banduan menangis – Sinar Harian


Didakwa rogol: Bekas banduan menangis

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012

AYER KEROH – Seorang bekas banduan menangis kerana sedih apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur 11 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hazizol Ahmad, 30, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan­ kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam kira-kira 12 tengah hari pada 14 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Jalan Bangsar, Batu Berendam antara jam 12 tengah malam pada 26 Disember hingga 9 pagi, 30 Disember 2001.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hazizol dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Mahmoodah ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan­ terhadap tertuduh kerana arahan­ pendakwaan kes tersebut keluar sejak 2003, namun tertuduh tidak dapat dikesan dan hanya ditangkap, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak yatim piatu merayu sambil menangis teresak-esak meminta mahkamah memberikan jaminan terhadapnya dengan alasan­ tidak pernah melarikan diri sebelum ini.

“Saya di penjara selama 10 bulan pada 2003 dan kemudian enam tahun sejak 2005 sebelum bebas pada 2009 bagi kes dadah. Sudah banyak kali saya ditahan tapi kenapa sekarang?” katanya.

Selepas mendengar rayuan, Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.