Didik bukan dera – Metro


Didik bukan dera

 0  0 Google +0  0  0

Gombak: Pihak pengurusan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Tahfiz Al Habbah, Batu Caves, dekat sini, menafikan perbuatan seorang tenaga pengajarnya yang memukul seorang remaja lelaki bertujuan menderanya sebaliknya tindakan itu bertujuan mendidiknya.

Pengerusinya, Khalid Sulaiman, 46, ketika dihubungi berkata, pihak pengurusan mengetahui kejadian itu namun beranggapan tindakan ustaz terbabit yang memukul mangsa lebih kepada ingin mendidiknya menjadi manusia yang lebih baik.
Menurutnya, remaja berkenaan yang baru sebulan belajar di pusat itu selepas dihantar ibunya sering menimbulkan masalah.

 

“Kami sudah beberapa kali menasihat dan menegur perbuatannya itu namun dia mengulangi perbuatan itu.
“Akhirnya ustaz terbabit terpaksa memukulnya bertujuan memberi pengajaran, tetapi tidak sampai ke tahap ingin mendera. Malah, ustaz itu juga memukul remaja terbabit seperti sayang seorang ayah kepada anaknya supaya berubah menjadi baik,” katanya.
Khalid berkata, malah perbincangan dengan ibu remaja terbabit juga sudah diadakan dan pihaknya juga sudah memohon maaf dan memberi wang RM350 untuk kos rawatan.

 

“Bagaimanapun, ibu remaja terbabit meminta kami membayar RM5,000 yang didakwa untuk menjelaskan kos rawatan anaknya itu di hospital.
“Apabila kami meminta resit sebagai bukti pembayaran, ibu remaja itu enggan menyebabkan pihak pengurusan tidak bersetuju menyerahkan wang terbabit. Bukan kami tidak mahu memberi wang diminta namun jika benar anaknya itu memerlukan wang sebanyak itu untuk merawat kecederaannya, kami bersedia membantu,” katanya.

 

Beliau berkata, kejadian yang berlaku itu hanyalah salah faham dan pihaknya tidak pernah menganiayai pelajar sebaliknya segala makan minum dan yuran pengajian ditanggung pihak pengurusan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, difahamkan kejadian terbabit berpunca akibat kenakalan mangsa, namun siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

‘Ustaz naik hantu’ – Metro


‘Ustaz naik hantu’

 3  1 Google +1  1  0

Oleh Nurul Fhatihah Mohd Zakinan

Klang: Seorang pelajar Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Tahfiz Al Habbah, Batu Caves, cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dibelasah seorang ustaz yang didakwa tiba-tiba ‘naik hantu’.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, mangsa, Mohd Zakwan Azli Azmi, 14, mendakwa ditendang, ditumbuk dan dihentak menggunakan kepala lutut oleh ustaz terbabit hanya kerana dia mengadu kepada guru besar berkaitan rasa tidak puas bermain bola sepak bersama rakannya sejurus selesai solat Asar.

Akibat kejadian itu, Zakwan kini trauma akibat dipukul lebih 20 kali di punggung, perut dan dada selain masih teringatkan kata-kata guru agama berkenaan ketika membelasahnya.

“Ketika memukul saya, ustaz itu berkata ‘Aku dah lama tak belasah budak ni, kau jadi makanan aku kali ni…aku kalau nak belasah kena buka serban dan jubah dulu, baru setan boleh masuk’,” katanya.

Foto 

Mangsa mendakwa bukan dia sahaja yang menjadi sasaran ustaz berkenaan, malah seorang rakan lain turut mengalami nasib sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan – Bernama


Keputusan STPM diumumkan Rabu depan

2012/03/01

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. – BERNAMA

Dua lelaki cuba samun gerai dicekup – Metro


Dua lelaki cuba samun gerai dicekup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Cubaan dua lelaki menyamun peniaga gerai makan di Kampung Melayu Batu Caves, di sini tidak kesampaian apabila mereka dicekup polis yang kebetulan melalui kawasan itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, seorang pelajar berusia 15 yang membantu rakannya menjaga gerai itu didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan seorang daripadanya melempar tin minuman ke arah mereka.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu membawa rantai kunci motosikal dan memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan barangan berharga.

 

Sumber berkata, kebetulan sebuah kereta peronda polis melalui kawasan terbabit dan melihat kejadian itu.